Nasional

Covid-19: Utamakan saringan percuma besar-besaran

KERAJAAN perlu beri keutamaan melakukan saringan Covid-19 secara besar-besaran secara percuma bagi mengesan pembawa wabak itu secara berkesan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya, kos untuk memberi saringan percuma kepada sesiapa yang mahu diuji memberi pulangan jauh lebih besar berbanding langkah-langkah lain yang diambil oleh kerajaan.

Beliau percaya melaksanakan saringan besar-besaran adalah antara langkah paling berkesan melawan Covid.

NAJIB TUN RAZAK

“Kerajaan kata jumlah kos untuk melaksanakan setiap saringan adalah sekitar RM700 seorang.

“Ini bermakna jumlah kos untuk melaksanakan 15,196 saringan setakat ini ialah sekitar RM10.6 juta.

“Katakanlah kita berjaya menurunkan kos saringan ke RM500 seorang, jumlah kos untuk membuat saringan untuk satu juta rakyat adalah RM500 juta,” katanya dalam hantaran di facebook.

Katanya, jika kos RM500 juta besar, maka boleh dibuat perbandingan dengan pendapatan negara sekitar RM3.8 bilion sehari.

“Bayangkan ini. Jumlah nilai  KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Malaysia adalah RM1.4 trilion tahun lepas atau sekitar RM3.8 bilion sehari.

“Sebab itu, apakah kos RM500 juta berbanding pulangan yang diperolehi jika kita mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara kita?

“Lagipun, kos setiap saringan Covid sedang menurun pada ketika ini kerana semakin banyak syarikat dalam dunia sedang memperkenalkan kit ujian Covid yang semakin mudah diguna dan semakin murah, ” katanya.

Katanya, Korea Selatan yang jumlah saiz penduduknya 51 juta orang telah berjaya mengawal kenaikan kes Covid tanpa melaksanakan perintah berkurung atau kawalan pergerakan yang ketat.

“Negara itu mengambil langkah untuk memberi saringan percuma kepada sesiapa sahaja yang mahu diuji.

“Setakat ini, Korea Selatan sudah membuat lebih 300,000 saringan berbanding 15,196 saringan di Malaysia,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button