Negeri

Covid-19: Tiga sektor utama ekonomi negara mulai tunjuk tanda pemulihan

SEKTOR pembuatan, pembinaan dan pertanian negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 kini sudah beransur pulih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun sektor pembinaan swasta masih bergelut tetapi sekurang-kurangnya kerja-kerja bagi projek kerajaan yang disambung semula telah membolehkan banyak syarikat pembinaan kembali beroperasi.

Beliau berkata, pada keseluruhannya ekonomi negara masih berhadapan dengan cabaran tetapi sudahpun ada tanda-tanda pemulihan.

Mustapa berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) dan komuniti perniagaan di Kuching, Sarawak, hari ini.

Memetik laporan BERNAMA, Mustapa berkata, sektor pelancongan dan lain-lain sektor perkhidmatan termasuk perkhidmatan profesional dan peruncitan mengalami kemerosotan yang amat teruk sepanjang tempoh pandemik itu.

Menurut Mustapa lagi, walaupun sektor pelancongan domestik sudah menunjukkan sedikit pemulihan tetapi disebabkan pelancongan luar negara masih belum dibuka, ia tidak dapat pulih sepenuhnya.

Selain itu, katanya, kadar pengangguran bagi bulan Mei juga semakin menunjukkan pemulihan iaitu 5.3 peratus di peringkat kebangsaan dan dijangka terus pulih bulan ini.

Sementara itu, Mustapa berkata, beliau yakin dengan prospek kemajuan di Sarawak serta kerjasama baik antara kerajaan negeri dan pusat akan membawa kepada pembangunan yang lebih besar.

Katanya lagi, tumpuan Sarawak adalah terhadap ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar yang menjadi tonggak utama pembangunan negeri.

“Kerajaan negeri Sarawak juga telah menyediakan insentif dan pakej berjumlah RM2.5 bilion untuk membantu rakyat, khususnya kumpulan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana di negeri ini yang merupakan pakej terbesar berbanding negeri-negeri lain,” ujar Mustapa.

Di samping itu, kerajaan negeri Sarawak juga mempunyai perancangan pembangunan perniagaan di perbatasan negara (perdagangan sempadan) dengan Indonesia dan Brunei yang potensinya cukup besar apabila Indonesia memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Kalimantan Timur.

“Syarikat luar negara termasuk dari Jepun dan Cina akan menambah pelaburan mereka di negeri ini dan bermakna sektor pelaburan di negeri ini akan berkembang pesat,” kata Mustapa. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button