Nasional

Covid-19: Saringan besar-besaran di Tawau, Lahad Datu, Kunak

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia akan melaksanakan saringan Covid-19 secara besar-besaran di tiga daerah di Sabah yang kini mencatatkan peningkatan kes yang tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan itu akan meliputi Tawau, Lahad Datu dan Kunak.

Beliau menganggarkan sekurang-kurang 20,000 individu akan terlibat dengan saringan Covid-19 di tiga daerah itu.

“Selepas pihak berkuasa dapat mengetatkan kawalan sempadan, pihak kementerian akan menjalankan saringan kesihatan dalam komuniti dan kita sasarkan komuniti di Tawau, Lahad Datu serta Kunak.

“Kita juga akan kenal pasti kawasan tertentu, contohnya kampung dan lokaliti.

“Sekiranya di lokaliti itu mempunyai kes positif Covid-19 yang tinggi kita akan ambil tindakan seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya pada sidang media, perkembangan terkini Covid-19 di kementerainnya hari ini.

Kluster Covid-19 dikesan di Sabah antaranya Kluster Benteng yang turut membabitkan banduan dalam Penjara Tawau.

Terkini satu lagi kluster iaitu Kluster Pulau turut dikesan di Sabah yang kini sedang berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri.

Bagi Kluster Benteng sejumlah 1,096 banduan dan tahanan telah disaring dengan 395 kes dikesan positif COVID-19; 1,147 kakitangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau turut disaring dan 10 kes dikesan positif COVID-19;

Sementara 1,251 ahli keluarga kepada kakitangan, banduan dan tahanan di mana sembilan (9) dikesan positif COVID-19 serta 2,139 kontak sosial turut disaring di mana 10 dikesan positif COVID-19.

Daripada jumlah 424 kes positif COVID-19 bagi kluster ini, 186 adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala 238 adalah bukan warganegara yang melibatkan negara Filipina (154 kes) dan Indonesia (84 kes).

 

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button