Nasional

COVID-19: Rakyat diajak solat hajat serentak selepas Zohor esok

RAKYAT diajak untuk melakukan solat hajat serentak di seluruh negara selepas solat Zohor esok.

Perkara itu dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebagai menyahut titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin.

Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya solat hajat serentak dilakukan di seluruh negara untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi terkini yang dihadapi negara.

Agong titah umat Islam adakan solat hajat di rumah

Menurut Dr. Zulkifli, berdasarkan taakulan dengan ilham daripadaNya  tarikh dan waktu yang sesuai bagi cadangan pelaksanaan solat itu serentak di seluruh negara adalah pada hari Jumaat iaitu esok selepas Solat Zohor di rumah dan tempat masing-masing.

“Renungkanlah firman Allah SWT: وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ bermaksud  ‘Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah: 186).

“Maka, saya menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk menyahut titah KDYMM Tuanku Agong dengan melaksanakan Solat Hajat serentak di seluruh Negara dan memenuhi hari Jumaat dengan zikrullah, taubat dan munajat kepada-Nya. Kepada Allah SWT jua kita berserah,” kata Dr. Zulkifli.

Dr Zulkifli sebelum ini memberitahu  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua rakyat mengadakan solat hajat khusus bagi menolak penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda negara.

Titah itu kata beliau oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin kepada pihaknya, petang tadi.

Justeru, Zulkifli berharap semua pihak dapat bersama-sama menyahut titah Al-Sultan Abdullah dengan melaksanakannya di rumah dan tempat masing-masing, di samping mematuhi arahan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Solat hajat tersebut boleh dilakukan pada waktu siang atau malam kecuali pada waktu-waktu yang diharamkan solat.

“Begitu juga, marilah kita membanyakkan istighfar, taubat, zikrullah dan amalan ketaatan serta munajat yang tak putus-putus kepada-Nya,” katanya dalam satu kenyataan.

Zulkifli turut berkongsi waktu-waktu yang diharamkan solat iaitu sesudah solat Subuh hingga terbit matahari, selepas terbit matahari hingga kadar tujuh hasta pandangan mata (kira-kira 3 darjah), ketika matahari tegak di atas kepala kecuali pada hari Jumaat, selepas solat Asar dan ketika matahari kemerahan di waktu senja hingga terbenam seluruh bulatannya. -SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button