Bagi sama-sama mendepani peningkatan kes Covid-19 terkini di negeri Perlis dan Malaysia, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitah nasihatkan supaya jika tiada keperluan, kumpulan berisiko seperti warga emas, yang mempunyai komorbiditi dan kanak-kanak disarankan tidaklah perlu pergi ke tempat-tempat tumpuan awam buat masa ini.
Rakyat hendaklah terus mengambil sikap dan tanggungjawab sosial dengan memastikan aplikasi MySejahtera digunakan setiap kali memasuki premis perniagaan atau tempat tarikan pelancong.
Para pemilik premis juga hendaklah memainkan peranan dengan memastikan hanya pelanggan yang berisiko rendah dan telah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk bagi mengurangkan penularan jangkitan berlaku.
Demikian titah peringatan Tuanku Syed Faizuddin Putra supaya masyarakat tidak sekali-kali leka dan sentiasa mematuhi SOP di samping mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian masing-masing selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Sirajuddin, Padang Pauh. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang yang akan diagihkan oleh amilnya, Zakaria Khamis.
Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Sementara itu, mengulas mengenai topik yang sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim menerangkan bahawa pandemik Covid-19 sekali lagi menunjukkan peningkatan kes yang mendadak, bukan sahaja di Malaysia namun di luar negara juga. Perlis juga terkesan, yang mana terdapat 275 kes dilaporkan pada minggu lepas, iaitu peningkatan 164% berbanding minggu sebelumnya. Namun, 97.5% adalah kategori 1 dan 2 ringan dan hanya 12% dimasukkan ke PKRC dan hospital. Tiada kematian dicatatkan. Ini sebahagian besarnya disumbang oleh liputan vaksinasi lengkap bagi rakyat Perlis yang tinggi.
Menurut beliau, ‘Tren peningkatan ini adalah disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak. Selain itu, negeri Perlis juga mencatatkan kejadian kluster Covid-19 di institusi pendidikan dan tempat kerja. Penularan tersebut berpunca daripada jangkitan dari komuniti dan telah menular di institusi dan premis terbabit’.
Tambah Dr Sirajuddin, ‘Ketidakpatuhan SOP dan kurangnya pengamalan norma baharu adalah antara faktor penyumbang kepada kejadian kluster yang telah dikenalpasti’.