Nasional

COVID-19: Pujian tinggi melambung `membunuh’ Singapura

KOMENTAR

PUJIAN Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) begitu melambung kepada Singapura akhirnya `membunuh’ negara selatan tetangga kita Malaysia.

Tidak lama, baru sahaja 1 April lepas, Ketua Wabak Global Organisasi WHO Dale Fisher yang dipetik CNBC memuji Singapura sebagai salah satu negara paling aman untuk tinggal di tengah-tengak ketakutan penduduk dunia terhadap COVID-19.

Singapura disebut-sebut negara paling efisien dalam penanganan situasi krisis pandemik tersebut. Ketika negara-negara berstatus lockdown sedang bertungkus lumus menguatkuasakannya, apa yang telah dilakukan Singapura berjaya menurunkan kes.

Tetapi itu pujian 20 hari lepas. Lihatlah apa yang terjadi kepada Singapura hari ini.

Semalam, 19 April 2020, jumlah kes COVID-19 di Singapura meningkat melepasi Indonesia. Ia sekali gus muncul yang tertinggi di Asia Tenggara selepas mengenal pasti ratusan pesakit dalam kalangan pekerja warga asing.

Related Articles

Tambahan 596 kes disahkan, menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 6,558 kes di seluruh republik itu, dengan hanya 25 daripadanya adalah warga Singapura atau penduduk tetap.

Terdapat kira-kira 280,000 pekerja pembinaan migran di Singapura, kebanyakannya dari negara Asia Selatan, yang tinggal di 43 asrama pekerja asing di seluruh Singapura. Mereka sering ditempatkan di kawasan kurang ‘diingini’ di bandar, sekali gus hanya mempunyai sedikit pergaulan dengan warga tempatan.

Selepas muncul laporan mengenai keadaan teruk di salah sebuah asrama yang dikuarantin, Kementerian Tenaga Manusia berkata, pihaknya sedang berusaha memperbaiki keadaan itu.

Menurut laporan AFP Khamis lalu, pekerja migran di Singapura sedang hidup dalam ketakutan susulan peningkatan jangkitan COVID-19 di asrama kediaman mereka.

Golongan itu mendakwa keadaan asrama yang sempit dan kotor menyebabkan langkah penjarakan sosial adalah mustahil untuk dilakukan.

Seorang pekerja dari Bangladesh yang tinggal di sebuah asrama terjejas dengan beberapa kes jangkitan tetapi belum dikuarantin, memberitahu AFP bahawa penjarakan sosial untuk mengekang penularan virus itu tidak mungkin dapat dilakukan.

“Sebuah bilik kecil dengan 12 orang tinggal bersama… bagaimana kami boleh melakukan penjarakan sosial?” katanya yang enggan dikenali.

Beliau mendakwa, tahap kebersihan adalah teruk dengan pekerja terpaksa menggunakan kawasan memasak dan bilik mandi yang dikongsi beramai-ramai.

“Kami tahu ciri virus itu dan bagaimana ia tersebar. Oleh itu, jika keadaan hidup sebegini berterusan, saya amat bimbang,” katanya.

Sekurang-kurang sebuah asrama mempunyai tandas yang melimpah dan bilik dipenuhi lipas, lapor akhbar Straits Times di mana pengkritik menyifatkannya sebagai layanan buruk terhadap buruh asing di negara kaya ini.

Kebanyakan asrama besar dihuni pekerja yang lazimnya memperoleh pendapatan kira-kira $400 hingga $500 sebulan sebagai buruh projek pembinaan bangunan pencakar langit dan pusat beli-belah.

Di Malaysia, kerajaannya tidak mengetepikan pekerja asing untuk mendapat perlindungan daripada penularan pandemik ini.

“Kita tidak akan benarkan rakyat asing kelaparan waktu Perintah Kawalan Pergerakan, tetapi pihak kedutaan masing-masing perlu tampil menggalas tanggungjawab mereka.

“Kerajaan akan tolong mana yang perlu,” tegas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri 3 April lalu.

Setakat Khamis 16 April, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 601 kes positif COVID-19 di negara ini melibatkan warga asing, setakat Khamis.

Daripada jumlah itu, seramai 356 orang sedang menerima rawatan, 242 kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang, manakala tiga kematian dicatatkan.

Mereka termasuk pelancong, pekerja asing, golongan pelarian dan pemohon suaka. Daripada jumlah itu, negara utama dengan 108 kes adalah warga negara Indonesia, 104 kes (Filipina), 63 kes (Bangladesh), 60 kes (India) dan 51 kes (Pakistan),

Kelmarin, pakar di Mayo Clinic iaitu rangkaian Hospital Amerika Syarikat (AS), Prof Vincent Rajkumar, dalam ciapan di twitter, berkata dunia harus mengambil iktibar daripada pengalaman Singapura.

“Sama seperti Korea Selatan, Singapura berjaya mengendalikan gelombang pertama COVID-19 dengan baik sehingga mendapat pujian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Namun, tindakan melonggarkan langkah kawalan terlalu awal mungkin membawa musibah gelombang kedua yang lebih teruk.

“Kini, Singapura terpaksa melawan gelombang kedua dengan langkah lebih ketat termasuk menutup sebahagian besar premis perniagaan,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button