Politik

Covid-19 – PRU-15: Ahli politik perlu rasional

SUSULAN penularan wabak Koronavirus (Covid-19) yang meningkat sehingga 423 kes semalam, ahli politik dinasihatkan perlu bersikap rasional dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Hal demikian susulan penularan wabak tersebut menjadi-jadi dipercayai disebabkan oleh jangkitan yang tersebar ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Susulan itu, ahli politik perlu menilai semula kaedah pelaksanaan pilihan raya ketika gelombang ketiga pandemik ini sedang melanda negara.

Ini berikutan gesaan beberapa pihak terutama dalam kalangan ahli politik sendiri supaya diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 dalam masa terdekat.

Jika hal demikian berlaku, penularan wabak Covid-19 tidak akan dapat dibendung lagi malah, ia akan terus meningkat dengan terus mendadak.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan Covid-19 semakin teruk dan seorang daripada 10 penduduk di dunia akan dijangkiti virus itu.

“Mengadakan pilihan raya apatah lagi PRU-15 dalam tempoh terdekat ini hanya akan mengundang pelbagai risiko.

“Walaupun garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) mengenai kempen dan proses pengundian ditetapkan.

“Walaupun PRN Sabah bukanlah satu-satunya penyebab kepada berlakunya peningkatan kes COVID-19 yang kembali menjadi kerisauan rakyat.

“Namun, tidak boleh dinafikan terdapat penularan kes yang berlaku disebabkan mereka yang terlibat dengan PRN berkenaan.”

Demikian kata Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dipetik laporan Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian mendakwa golongan tersebut perlu bersikap rasional dan meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan berbanding agenda politik masing-masing.

Malah, dengan situasi pandemik yang dijangka tidak akan beransur dalam masa terdekat bukanlah masa yang sesuai untuk melaksanakan pilihan raya umum.

Sekiranya Parlimen benar-benar dibubarkan dan kempen plihan raya berjalan, rakyat Malaysia sekali lagi akan menyaksikan pemimpin turun padang dan berasak dengan rakyat.

Begitu juga penyokong-penyokong, dalam situasi sedemikian langkah penjarakan sosial sudah pasti terus diabaikan dan pemakaian pelitup muka pun di pandang ringan.

Jelas Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, ketika itu juga akan berlaku perjalanan rentas negeri dalam kalangan ahli politik dan penyokongnya.

“Penjarakan fizikal dan mengelakkan bersentuhan antara satu sama lain adalah merupakan perkara yang amat sukar untuk dilakukan.

“Terutama ketika menjalankan aktiviti kempen pilihan raya.

“Kegagalan melaksanakannya akan mendedahkan masyarakat kepada penularan pandemik Covid-19.

“Itu belum diambil kira SOP-SOP lain yang turut diabaikan.

“Setiap anggota masyarakat harus mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku pada PRN Sabah baru-baru ini.

“Bukan sahaja mereka yang terlibat berkempen yang dijangkiti pandemik ini, bahkan ahli keluarga terdekat dan orang sekeliling turut menerima akibatnya.

“Terutama apabila terdapat golongan yang mementingkan diri dan tidak melaksanakan kuarantin kendiri.

“Untuk itu, PRU15 wajar ditangguhkan ke suatu tarikh yang ketika itu negara dan keselamatan rakyat dapat dipastikan dalam keadaan baik dan terkawal daripada krisis pandemik Covid-19,” tegasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button