Covid-19 menghalang capai sasaran penurunan jangkitan HIV di Afrika
KADAR jangkitan HIV di Afrika telah menurun dengan ketara, namun benua itu masih berada di bawah sasaran yang ditetapkan, dengan usaha tersebut diperlahankan dengan adanya pandemik Covid-19, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada semalam.
“Afrika telah mencapai kemajuan yang ketara terhadap HIV sejak sedekad lalu, mengurangkan jangkitan baharu sebanyak 43 persen dan hampir separuh kematian berkaitan AIDS,” kata pejabat WHO Afrika dalam satu kenyataan.
Tetapi WHO memberi amaran bahawa Afrika tidak mungkin memenuhi sasaran untuk menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang pergantian dekad kerana Covid-19 telah menjejaskan perjuangan di banyak negara.
“Covid-19 telah menjadikan perjuangan menentang HIV menjadi lebih mencabar, tetapi satu virus tidak boleh menang atas yang lain.
“Kita mesti menangani Covid-19 dan HIV secara selari,” kata ketua WHO Afrika, Matshidiso Moeti.
Covid-19 juga telah memperlahankan kadar saringan HIV kerana sekatan pergerakan.
Unaids pada minggu lalu memberi amaran bahawa kadar jangkitan HIV tidak berkurangan dengan cepat bagi mencapai matlamat membasmi AIDS menjelang tahun 2030.
Menurut data yang dikeluarkan pada International Conference on AIDS and Sexually Transmitted Infections (ICASA) yang kini diadakan di bandar pelabuhan Durban, Afrika Selatan, hanya sembilan negara Afrika berada di landasan untuk mencapai sasaran dalam tempoh empat tahun akan datang.
Negara-negara tersebut ialah Botswana, Cape Verde, Kenya, Lesotho, Malawi, Nigeria, Rwanda, Uganda dan Zimbabwe.
“Kad skor ini adalah satu panggilan untuk kerajaan Afrika untuk terus fokus pada penamatan AIDS,” kata Moeti.
Afrika Selatan adalah negara yang mempunyai prevalens HIV tertinggi di dunia pada 20.4 persen, menganjurkan mesyuarat tahunan selama seminggu yang menghimpunkan saintis, ahli politik dan aktivis. – SM