Nasional

Covid-19 memburuk: Gabungan pengamal perubatan gesa kerajaan laksana 10 langkah intensif

USAHA para pengamal perubatan dalam membendung penularan wabak Koronavirus (Covid-19) tidak menunjukkan impak dan mengurangkan jumlah jangkitan.

Malah, usaha untuk meratakan lengkungan kadar jangkitan dalam tempoh suku terakhir dan awal tahun ini dilihat gagal.

Lebih parah, jumlah jangkitan pada hari ini melepasi paras 3,000 pesakit baharu, walaupun peningkatan tersebut bersandarkan kepada pelaksanaan saringan dalam kalangan pekerja.

Namun, itu bukan alasan untuk menarik nafas lega kerana walau siapa pun yang dijangkiti, mereka adalah pesakit dan catatan positif direkod, serta berpotensi menjangkiti orang lain.

Justeru, kerajaan digesa melaksanakan langkah lebih intensif untuk membendung penularan dan mencapai sasaran seperti penanda aras ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Antara saranannya adalah:

“Meluaskan ujian saringan menggunakan kit ujian rapid yang berharga lebih murah (RTK-Ag), berbanding PCR untuk membantu melambatkan jangkitan Covid-19.

“Dengan melaksanakan diagnosis awal menggunakan RTK-Ag, dalam masa 24 jam pengasingan pesakit dapat dilakukan dengan segera.

“Gunakan pengesanan secara automatik melalui aplikasi telefon pintar dan melalui cara itu pengesanan kawasan panas (hotspot) mudah dikenalpasti.

“Melalui cara itu sahaja iaitu dengan tindak balas Cari-Uji-Kesan-Asingkat (FTTI) dapat memutuskan rantaian dan mengurangkan kes sporadik Covid-19.

“Kita mesti melindungi pekerja perubatan profesional di hospital Covid-19 dengan mengasingkan pesakin bukan Covid-19 ke hospital lain.

“Bermakna, hospital Covid-19 khusus untuk merawat pesakit pandemik tersebut bagi mengelakkan risiko menjangkiti pesakit dan kakitangan lain.

“Ini akan membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada kes paling kritikal dan tidak terganggu dengan kes Covid asimtomatik dan ringan.”

Demikian saranan yang dicadangkan oleh gabungan pengamal perubatan di peringkat industri dan akademik menerusi satu surat terbuka yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Surat tersebut dipersetujui oleh 46 pengamal perubatan termasuk bekas kakitangan awam, ahli akademik dan wakil-wakil organisasi bukan kerajaan (NGO).

Saranan berkenaan digesa kerana jumlah jangkitan terkumpul sudahpun melebihi paras 100,000 orang dan kadar jangkitan bagi setiap 1,000 pesakit tidak menunjukkan tanda-tanda akan rata.

Malah, catatan terbaharu kadar jangkitan negara adalah pada 00879 bagi setiap 1,000 orang, bermakna lapan hingga sembilan orang adalah dalam kategori aktif bagi setiap 10,000 orang.

Selain itu, kadar positif daripada ujian saringan (bagi tempoh tujuh hari) setiap hari terus meningkat iaitu 8.9 peratus pada 3 Januari lalu iaitu lebih tinggi berbanding penanda aras lima peratus ketika di peringkat kawalan dan pembendungan.

Dalam pada itu, para pengamal perubatan itu turut meminta kerajaan melaksanakan pemberian vaksin dan pelaksanaan ujian dengan kos yang kurang daripada RM100 bagi setiap dos dan kit ujian.

Ini termasuklah bagi mereka yang ingin mendapatkan vaksin tersebut secara sukarela.

“Dengan cara itu, pemberian vaksin dapat diperluas dengan mudah dan pengesanan serta pengasingan pesakit positif Covid-19 dapat dikesan dengan cepat.

“Pembentukan jawatankuasa khas Covid-19 merentasi sektor mesti dibentuk dan diperkasakan bagi menyampaikan nasihat berdasarkan bukti supaya tindak balas daripada kerajaan secara keseluruhannya dilakukan dengan teratur.

“Jawatankuasa tersebut akan membantu kerajaan dan negara keluar daripada situasi wabak berdasarkan saranan dan perkiraan daripada impak ekonomi untu diputuskan kepada Kabinet.

“Bagi mengisi jawatankuasa tersebut, pakar daripada Persatuan Pengamal Perubatan (MMA), Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Pengamal Perubatan Kesihatan Malaysia dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia adalah yang terbaik untuk dipilih sebagai ahli,” tambahnya.

Dalam pada itu, gabungan tersebut juga menolak sebarang tindakan yang cuba dikaitkan dengan politik termasuklah mengambil kesempatan terhadap penularan ini.

“Jangan politikkan pandemik ini, sebaliknya bekerjasama secara bipartisan antara parti bagi meratakan lengkungan Covid-19.

“Usaha ke arah meratakan lengkungan jangkitan juga perlu dilihat melalui konsensus antara parti dan meningkatkan usaha untuk menguatkan imuniti bagi melindungi komuniti dalam menerima kewujudan Covid-19.

“Mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 adalah langkah terburuk dalam membendung Covid-19 dan akan mengulangi bencana sama ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” tegasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button