Sukan

Covid-19 : Kejohanan Woodball Piala Dunia ke 9 di Perlis ditunda ke 24-30 Julai 2021

GAMBAR FAIL

KEJOHANAN Woodball Piala Dunia ke 9 yang juga dijenamakan sebagai ‘WCWC Perlis 2020’ yang sepatutnya berlangsung di negeri ini dari 24 hingga 30 Julai 2020 ditangguhkan ke tarikh yang sama pada 24 hingga 30 Julai tahun hadapan.

Demikian dimaklumkan oleh Presiden Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWbF) Ming-Hui Weng kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs).

Maklumat tersebut dipersembahkan kepada baginda melalui Presiden Persekutuan Woodball Asia (AWF), Thomas Kok mengikut kenyataan PWNPs hari ini.

Menurut Weng, keputusan berat tersebut terpaksa dibuat dengan pantas oleh pihak Jawatankuasa Pelaksana Kejohanan IWbF yang berpengkalan di Taipei, Taiwan akibat penularan wabak pandemik Covid-19 yang melanda seluruh global sekarang ini selepas mengambil kira dari semua sudut khususnya bagi memastikan setiap negara yang terlibat pulih seadanya dan dapat bersedia sepenuhnya nanti.

Ini adalah memandangkan bandar-bandar di merata dunia kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk jangka tempoh yang tidak lagi boleh dipastikan setakat ini.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah memaklumkan bahawa negeri Perlis yang telah diberikan penghormatan sebagai tuan rumah kejohanan ini perlu mengambil hal penundaan ini sebagai sesuatu yang positif.

Jelas Baginda lagi, pihak jawatankuasa pelaksana terdiri daripada Persatuan Woodball Negeri Perlis dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Persatuan Woodball Malaysia (MWA) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selain kesemua jabatan dan agensi kerajaan dan swasta yang membantunya serta para penaja diharap akan dapat meneruskan momentum membuat persiapan sepertimana yang telah dirancang sebelum ini.

Namun, mereka dipohon untuk mengariskan semula tarikh-tarikh ‘Carta Perbatuan Pencapaian’ baharu yang akan memberikan fokus kepada kelangsungan persiapan yang lebih rapi lagi terutama dalam aspek belanjawan dan pengukuhan sumber dana, perancangan pengoperasian penganjuran, pasukan-pasukan pemain tempatan bagi setiap peringkat pertandingan dan juga persediaan padang lapangan untuk kejohanan yang ditunda tarikhnya tersebut.

Tambah baginda, inilah juga peluang terbaik bagi pemilik-pemilik venue woodball di negeri ini seperti yang terdapat di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis, Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Teknologi Mara Perlis, Institut Pendidikan Guru Malaysia Perlis, Kolej Matrikulasi Perlis dan Dataran Sheikh Ahmad MPK Kangar serta sebuah lagi yang akan dibangunkan di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin untuk memperindahkan lagi gelanggang masing-masing dalam tempoh setahun yang akan datang ini setelah mereka dengan bergaya dan jayanya sudahpun mendapat pengiktirafan ‘Thumbs Up’ daripada delegasi panel pemeriksa IWbF yang datang dari beberapa buah negara untuk meninjau persiapan dan kemudahan venue di Perlis sempena ‘Majlis Menandatangani Kerjasama dan Pemeriksaan Lapangan’ yang diadakan pada bulan Januari 2020 yang lalu.

[AUDIO] Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail 

 

Rentetan daripada penundaan kejohanan pada tahun ini juga, Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Prof Emeritus Ir Datuk Dr Kamarudin Husin dan Timbalan beliau, Zaharin Haris memaklumkan bahawa pihak PWNPs akan segera berbincang kembali untuk merancang semula penganjuran sebanyak 7 lagi kejohanan woodball lain yang sepatutnya dijalankan secara serentak bagi memeriahkan lagi WCWC Perlis 2020 tahun ini untuk mengamit penglibatan lebih ramai pihak luar dengan sasaran jumlah penuh 3,000 peserta dari dalam dan juga luar negara untuk turut sama dilaksanakan pada Julai tahun hadapan.

Menurut Kamarudin, pertandingan-pertandingan yang akan dienjakkan tarikh penganjuran tersebut adalah Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia Ke-23, Kejohanan Woodball Jemputan Antarabangsa Universiti-Universiti Malaysia, Kejohanan Woodball Terbuka Negeri Perlis, Kejohanan Woodball Piala Pengarah Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia, Kejohanan Woodball Antara Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kejohanan Woodball PolyCC Piala Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti serta Kejohanan Woodball Terbuka Sekolah-Sekolah Malaysia. – SM

BACA JUGA:

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button