COVID-19: Hospital swasta tolonglah ringankan beban hospital kerajaan
SUARA Merdeka sangat kesal dengan sikap pihak swasta di Malaysia dalam memerangi wabak COVID-19.
Kebanyak masih bersikap mahu ‘menangguk di air yang keruh’ dalam keadaan negara menghadapi bencana, mereka hanya memikirkan keuntungan.
Ada syarikat penerbangan yang menawarkan tiket murah semata-mata untuk mengaut keuntungan. Nasib baik kerajaan bertindak segera melarang penerbangan keluar dari Malaysia.
Bagaimanapun mereka tidak rugi apa-apa kerana tiket telah habis dijual kepada orang ramai yang mudak tergoda dengan tawaran yang tidak masuk akal itu.
Ketika pelajar universiti yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing apabila IPT ditutup, dan kebanyakan mereka terputus bekalan makanan, pihak swasta hanya memekakkan telinga dan membutakan mata.
Akhirnya kerajaan juga yang mengambil inisiatif mengagihkan makanan kepada para pelajar terbabit.
Hospital swasta pula terus membisu ketika melihat hospital-hospital kerajaan melimpah dengan pesakit luar dan pesakit bukan jangkitan wabak, mereka yang tampil membuat pemeriksaan kesihatan kerana bimbang selepas mengalami simptom dikhuatiri wabak COVID-19.
Suara Merdeka berpendapat hospital swasta tidak akan terjejas dalam keadaan wabak yang menular di seluruh dunia, bahkan mereka akan memperolehi pendapatan luar biasa, kerana tiba-tiba orang ramai sangat prihatin dengan masalah kesihatan.
Oleh itu apa salahnya hospital swasta ini menawarkan tempat untuk menempatkan pesakit yang bukan wabak COVID-19 dan cara ini dapat mengurangkan beban kepada kakitangan perubatan di hospital kerajaan.
Malaysia tidak mampu untuk membina hospital khusus untuk wabak COVID-19 sebagaimana yang dilakukan oleh negara China.
Seperkara lagi Suara Merdeka aneh memikirkan apabila tidak ada syarikat yang menawarkan untuk menghasilkan topeng muka yang sukar diperolehi pada masa ini.
Agak menyedihkan kita terpaksa menunggu bantuan dari China, sedangkan kita mempunyai banyak syarikat dan mustahil kita tidak mempunyai kemahiran hanya untuk menghasilkan topeng muka.
Tindakan kerajaan menaikkan harga topeng muka juga tidak wajar ketika rakyat tertekan dengan situasi semasa. Bagaimana mereka yang kehilangan pendapatan akibat wabak ini dapat membeli sekotak topeng berharga ratusan tinggit.
Kerajaan perlu lebih prihatin apabila memutuskan harga topeng muka dinaikkan dari 80 sen satu kepada RM2.
Setakat ini peranan pihak swasta sangat menyedihkan. Apa yang mereka fikir kini hanya untuk memotong gaji pekerja.
Marilah kita menghulur bantuan bersama-sama berganding bahu memerangi wabak yang semakin tidak terkawal pada masa ini. – SM