Nasional

Covid-19: Dulu gelakkan orang, kini kita pula yang lakukan

KETIKA negara China dan Singgapura diserang virus Covid-19 ramai warganegara Malaysia yang ketawa melihat rakyat negara itu membeli barangan makanan dan tisu tandas dalam jumlah yang banyak.

Kita beranggapan bahawa mereka sudah tidak lagi waras apabila membeli barangan yang begitu banyak hanya untuk disimpan sebagai stok di dalam rumah. Sehinggakan rak-rak di pasar raya kosong kerana barangan habis diborong.

Kita juga ketawa melihat rakyat negara terbabit sanggup beratur panjang untuk membayar barangan terbabit.

Benarlah hidup bagaikan roda, hari ini kita dapat lihat rakyat Malaysia juga sebenarnya seperti manusia di negara lain.

Kita dapat mereka berpusu-pusu pergi ke pasar raya untuk membeli barang. Takut barangan tersebut habis, Takut tidak dapat keluar rumah lagi kerana terpaksa duduk di rumah. Khuatir dikenakan perintah berkurung.

Gambar yang dikongsi kelihatan rak-rak di pasar raya  kosong akibat pembelian panik. Ramai yang sanggup beratur panjang untuk membayar barangan yang dibeli.

Seorang pengguna Facebook mencatatkan, “Apa korang ni. Belum darurat lagi kau orang dah borong. Aku ni bawak anak-anak nak beli beras dan barang lain sikit-sikit terus batal. Sebab semua barang aku nak dah habis.

“Troli pun licin, parking penuh, kaunter panjang nak mam! Wei serius ah? Tesco Ara Damansara ni sebelum ni paling sendu, la ni mak ai.. Last-last aku pergi kedai Acheh. Tak sesak, barang banyak, segar dan harga pun tak la lari sangat.”

Seorang pengguna pula menulis, dia terpaksa membeli beras yang berharga mahal kerana beras tersebut sahaja yang tinggal kerana beras yang berharga murah telah habis dibeli.

Dalam menghadapi keadaan ini bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan agar orang ramai agar tidak panik kerana ia tidak akan membantu keadaan.

Jelas beliau, pembelian panik hanya akan memberi peluang kepada peniaga untuk menaikkan harga barangan.

“Kita perlu kekal tenang. Dan hanya beli mengikut kadar yang kita perlukan seperti hari hari lain. Membeli berlebihan akan memberi kesulitan kepada keluarga-keluarga lain.

“Kita perlu yakin kepada petugas petugas kesihatan di barisan hadapan yang bertungkus lumus.

“Ikut panduan serta nasihat petugas kesihatan secara berterusan dan usah mudah terperdaya dengan sebaran sebaran palsu yang tidak sahih. Itu akan meningkatkan panik,” nasihat Najib.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebar apatah lagi menokok tambah sesuatu maklumat yang tidak sahih.

“Teruskan langkah berjaga-jaga seperti menggunakan topeng muka, kerap membasuh tangan dengan cara yang betul, menjaga kesihatan peribadi masing-masing supaya tubuh kita kuat untuk melawan virus dan tidak berkunjung ke luar negara jika tidak ada keperluan sangat mendesak.

“Itu paling penting dan perlu dipatuhi. Sambil berusaha itu, kita berdoa kepada Tuhan agar kita semua dilindungi dari sebarang wabak dan penyakit dan mendoakan petugas kesihatan sentiasa diberi pelindungan,” nasihat Najib.

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button