Ketirisan penyaluran bantuan COVID-19 perlu dicegah – Raja Muda Perlis
KETIRISAN dalam penyaluran bantuan perlu dicegah oleh semua pihak, agar manfaat dapat dioptimumkan kepada golongan sasar.
Sesuatu bantuan yang disalurkan hanya akan memberikan manfaat apabila diurus dengan jujur oleh mereka yang diamanahkan untuk menguruskannya.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut sebaran media yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.
Selain itu, pihak yang diamanahkan juga harus bijaksana dan menggunakan pendekatan berhikmah dalam melaksanakan tugasan memberikan bantuan agar tiada golongan yang ketinggalan.
- Tangani COVID-19 dengan pendekatan luar biasa – Raja Muda Perlis
- Dalam setiap krisis, pasti ada peluang dan harapan- Raja Muda Perlis
- Latihan kerahan bantu kekang Covid-19, iktiraf askar wataniah -Raja Muda
“Dalam suasana krisis yang dahsyat ini, Syukur Alhamdulillah didapati semua pihak sama ada agensi kerajaan mahu pun NGO. Ini termasuklah juga pihak korporat telah meningkatkan sumbangan dan mempermudahkan prosedur demi untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Oleh itu, janganlah ada pihak yang menangguk di air keruh dengan pelbagai tindakan yang mampu mencemarkan nilai ketelusan dan integriti.
“Bagi pihak yang menerima bantuan pula, pastikanlah benar-benar berkeperluan agar bantuan berkenaan hanya mengalir kepada mereka yang berhak.
“Sebagai ‘Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’, masyarakat Perlis sudah pasti bijak dalam membuat pertimbangan dalam soal menerima dan memberi bantuan.
“Agama mengajar kita untuk sentiasa berlaku adil dan berbuat ihsan, maka utamakanlah elemen ini untuk menjamin kejayaan dalam sesuatu inisiatif bantuan yang dilaksanakan,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs lagi.
Sehingga tarikh 29 Mac 2020, MAIPs telah mengumumkan lapan inisiatif bernilai RM4.5 juta. Ia bagi sama-sama membantu menangani krisis penularan pandemik wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Inisiatif itu berbentuk bantuan kepada warga asnaf, golongan terputus bekalan, peniaga Muslim, asnaf berdikari, para pelajar serta program dakwah dan ilmu. – SM