Berita

Produk inovasi COVID-19 UniMAP jadi pilihan industri, komuniti

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa berusaha untuk menyalurkan sebanyak mungkin kemahiran dan ilmu yang dimiliki dalam bidang kejuruteraan khusus bagi membantu masyarakat terutama dalam memerangi wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, ia adalah selaras dengan misi universiti iaitu ‘Teknologi Kejuruteraan untuk Kemanusiaan’ yang antara lainnya menggalakkan warga universiti untuk menghasilkan produk penyelidikan yang mampu menyelesaikan permasalahan masyarakat.

Jelas beliau, salah satu dari produk yang mendapat permintaan menggalakkan dalam situasi Covid-19 ini ialah terowong sanitasi yang dihasilkan oleh para penyelidik dari Pusat Pengajian Diploma UniMAP.

“Selepas misi pemasangan pertama di Hospital KPJ Pulau Pinang minggu lalu, produk berkenaan terus mendapat permintaan menggalakkan dengan yang terkini produk tersebut telah selesai di pasang di Ibu Pejabat PolisKontinjen (IPK) Perlis petang tadi dengan disaksikan sendiri Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.

“Sebanyak tiga unit tempahan lagi telah diterima daripada syarikat pengeluar susu Farm Fresh selain beberapa tempahan dari pelbagai organisasi, hospital dan klinik kesihatan di seluruh Malaysia antaranya Kimberly Clark, Hospital Kemaman, Jinko Solar, IPK Selangor dan IPK Sabah.

“Sehingga kini dengan kekangan barangan, pihak penyelidik UniMAP sedang dalam proses menyiapkan 80 unit terowong sanitasi untuk kegunaan komuniti,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Prof. Dr. R Badlishah berkata, sepanjang krisis wabak Covid-19 ini, UniMAP telah mengetengahkan sembilan produk inovasi khusus untuk kegunaan petugas barisan hadapan serta industri.

Jelas beliau, produk capaian teknologi pengesanan lokasi berdasarkan Sistem Kedudukan Global (GPS) yang digunakan untuk memantau keberadaan dan keselamatan para pelajar dan staf UniMAP, misalnya turut mendapat perhatian dan permintaan industri.


“Teknologi yang dibangunkan ini yang membolehkan kedudukan staf dan pelajar dipadankan dengan kawasan wabak ternyata menarik minat beberapa pihak.

Selain itu, produk pelindung muka yang dihasilkan sama ada secara manual atau menggunakan teknologi percetakan 3D turut telah diedarkan ke sembilan buah lokasi dengan kapasiti pengeluaran menghampiri 1,700 unit.

“Antara lokasi terlibat ialah Hospital Tuanku Fauziah, KPJ Perlis, Klinik Kesihatan Kangar, Pejabat Kesihatan Jitra, Pejabat Menteri Besar Kedah, Rumah Sakit Angkatan Tentera Kepaa Batas dan Pejabat Dato’ Sabrina.

Buat masa sekarang penghasilan pelindung muka ini akan difokuskan untuk edaran di Kedah dan Perlis sahaja memandangkan ia dihasilkan oleh sebahagian besar institusi atau agensi di seluruh negara,” katanya.

Beliau seterusnya memberitahu, dengan menggunakan teknologi sensor, pasukan penyelidik UniMAP di Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik telah menghasilkan dua unit sistem penggera automatik khusus untuk sampel ujikaji Covid-19 di dua buah hospital iaitu Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Kuala Nerang.

Melalui sistem ini, jelasnya, para petugas makmal tidak perlu berulang alik ke bahagian hadapan makmal untuk memastikan ada sampel baharu yang dihantar sebaliknya hanya menunggu siren berbunyi sebaik sahaja sampel baharu dihantar.

“UniMAP akan terus berusaha menghasilkan pelbagai lagi produk inovasi khusus bagi membantu pengurusan wabak Covid-19 ini dari semasa ke semasa. Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti dalam menyumbang kembali kepada masyarakat,” jelasnya. – SM

(Visited 323 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button