Hiburan

Perlis terpilih lokasi penggambaran filem Mojoku Hilang

Negeri Perlis telah dipilih sebagai lokasi untuk filem yang berkonsepkan Filem Tourism dengan judul ‘Mojoku Hilang’. Filem yang diterbitkan oleh Double Vision Sdn Bhd itu telah menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis untuk penggambaran ini.

Demikian menurut kenyataan YTSP Perlis. Sewaktu pergambaran, YSTP Perlis telah mengadakan satu majlis penghargaan untuk rakan-rakan strategik yang telah membuat sumbangan kepada tabung yayasan. Majlis penghargaan ini dilaksanakan baru-baru ini bersama barisan pelakon serta krew ‘Mojoku Hilang’ dan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Pengerusi YTSP Perlis di Tasoh Lake Resort, Kaki Bukit.

Antara rakan-rakan strategik yang terlibat sama dalam inisiatif bersama YTSP Perlis pada masa ini adalah EUPE Bhd, SHJ Auto Sdn Bhd, UEM Group Berhad, CIMA Bhd, Mutiara Perlis Sdn Bhd, FFM Berhad dan beberapa syarikat lain dengan sumbangan yang kini hampir mencecah RM 1 juta.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah dan Penerbit filem berkenaan Min Lim dan Penyelaras Kerjasama DVSB/YTSP, Syed Hazrain Jamalullail.

Selepas majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan berfoto kenangan, beramah mesra ‘Meet and Greet’ bersama barisan pelakon utama dan pelakon tambahan yang hadir serta krew produksi dan seterusnya meninjau ke lokasi penggambaran filem tersebut.

Johari berkata, ‘YTSP Perlis tertarik untuk bekerjasama dalam inisiatif pembikinan filem ini bagi tujuan menambah baik dan mengangkat potensi pelancongan, pertumbuhan sosioekonomi dan yang paling utama pendidikan anak-anak di negeri Perlis’.

Menurut Min pula, “Mojoku Hilang” adalah sebuah filem romantik-komedi yang bertemakan komuniti, kepercayaan pada kehidupan yang tidak materialistik dan juga pengorbanan untuk orang yang disayangi. Ia mengetengahkan perpaduan masyarakat, budaya tolong-menolong dan pencarian identiti anak muda pada zaman ini.

Filem ini diyakini akan dapat mempamerkan keunikan serta keindahan Negeri Perlis, sekaligus menyokong kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Filem ini dibintangi pelakon Indonesia yang diminati ramai, Adipati Dolken bersama barisan pelakon-pelakon terkenal tanahair seperti Mimi Lana, Wan Hanafi Su, Namron, Datuk Ahmad Tamimi, Gambit Saifullah dan juga seekor lembu yang sangat comel.

Double Vision Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat produksi tempatan yang aktif dan berpengalaman dalam penerbitan komersil televisyen, televisyen realiti, filem, dan drama bersiri serta penyiaran di negara ini.

Foto : Ihsan YTSP Perlis

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button