Nasional

Coronavirus: Wartawan terima sumbangan masyarakat bayar ikat jamin

WARTAWAN Wan Noor Hayati Wan Alias yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas tiga tuduhan membuat kenyataan membabitkan coronavirus (2019-nCoV) di laman Facebook miliknya, Januari lalu mengucapkan terima kasih kepada orang awam atas sumbangan wang jaminan.

Penerima  hadiah tertinggi kewartawanan Anugarah Kajai pada 2014 itu didakwa tiga pertuduhan melalui akaun Facebook miliknya, ‘Ibu Yati’, secara sedar membuat kenyataan mengenai coronavirus dengan niat untuk menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada golongan awam.

Menurut Wan Noor Hayati atau lebih dikenali sebagai Ibu Yati, beliau menerima sumbangan daripada rakan-rakan media dan masyarakat awam untuk membayar ikat jamin berjumlah RM12,000.

“Terima kasih kepada semua rakan media, NUJ NSTP dan orang awam yang telah tampil memberi sumbangan dan membantu urusan saya ikat jamin di mahkamah.

“Saya yakin berkat doa dan sokongan semua, saya akan mendapat keadilan yang sewajarnya,” kata Wan Noor Hayati.

Wan Noor Hayati  41, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Ketiga-tiga kenyataan itu dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, pukul 10 malam, pada 26 Januari 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal  tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap wartawan tersebut. Bagaimanapun Wan Nor Hayati yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon dikenakan jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Wan Noor Hayati menerima lebih 20 pengiktirafan daripada pelbagai pihak termasuk Tokoh Wartawan Rakyat  terhadap sumbangannya kepada masyarakat dan dunia kewartawanan.

Antara kejayaan beliau adalah membongkar isu penjualan MyKad, sindiket warganegara ekspres, isu Haji Ekpsres, isu ajaran sesat Arqam, isu militan Jemaah Islamiah, isu LTTE, isu ancaman siber  sehingga tertubuhnya mahkamah siber yang pertama di negara Malaysia.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button