Ekonomi

Coral Evergreen terima LOA RM36.79 juta

KUALA LUMPUR, 13 OGOS 2024 –
Coral Evergreen Sdn Bhd anak syarikat milik penuh Minetech Resources Bhd, menerima Surat Tawaran (“LOA”) daripada Puncak Utara Sdn Bhd (“Puncak Utara”) bernilai RM36.79 juta bagi projek menaik taraf sistem kumbahan dan kerja berkaitan di Perbandaran Ketengah Jaya, Bukit Besi dan Seri Bandi Fasa III yang terletak di Wilayah Ketengah, Terengganu Darul Iman.

LoA yang diperoleh ini adalah bagi kerja-kerja penambahbaikan sistem kumbahan dan infrastruktur berkaitan di kawasan Ketengah Jaya, Bukit Besi dan Seri Bandi. Projek itu ditetapkan untuk bermula pada 29 Julai 2024, dengan dijangka siap pada 13 Jun 2027.

Pengerusi Eksekutif Minetech Abang Abdillah Izzarim berkata, pihaknya gembira kerana telah dianugerahkan kontrak ini oleh Puncak Utara.
“Dengan Ketengah sebagai agensi kerajaan yang disegani, projek ini bukan sahaja mengukuhkan portfolio kami tetapi juga meningkatkan kredibiliti kami dalam industri. Memandang ke hadapan, Minetech akan terus mendapatkan projek utama secara aktif dan mengembangkan jejak kami dalam sektor infrastruktur, termasuk kejuruteraan awam dan rawatan air. Kami juga tidak sabar untuk meneroka peluang masa depan di Sarawak, di mana kami menyasarkan untuk memacu pertumbuhan dan memberikan hasil yang positif,” katanya di sini hari ini.

Abang Abdillah menambah Minetech mengharapkan kerjasama yang berjaya dengan Puncak Utara, memacu projek ke arah penyiapan tepat pada masanya dan menetapkan penanda aras baharu dalam segmen infrastruktur.

Jelas beliau pada bulan Julai sahaja, syarikat memperoleh dua kontrak penting berjumlah RM20.15 juta iaitu projek daripada MyVilla Development Sdn Bhd, anak syarikat Mah Sing Group Bhd, untuk menaik taraf dan pembinaan jalan luar dan sistem perparitan di Mukim Batu, Kuala Lumpur, dan kontrak untuk kerja-kerja jalan dan perparitan di Bandar Perindustrian Banting di Kuala Langat, Selangor.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button