Nasional

CIJ kecam gangguan seksual terhadap wartawan di Sungai Bakap

Centre for Independent Journalism (CIJ) mengecam kejadian gangguan seksual yang berlaku terhadap wartawan wanita yang membuat liputan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Bakap baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G. Naidu dalam kenyataan berkata, kejadian itu menunjukkan bahawa persekitaran bagi para pengamal media tidak selamat terutamanya bagi wanita yang
sentiasa menjadi sasaran disebabkan jantina mereka.

“Hal ini menghalang mereka daripada melakukan tugasan mereka. Setiap para pengamal media haruslah dihormati serta dilindungi daripada sebarang ancaman yang memudaratkan diri dan orang lain di sekeliling mereka supaya mereka boleh menyampaikan isu-isu kepentingan awam kepada rakyat secara efektif.

“Kami menggesa bahawa tindakan tegas diambil terhadap pesalah kejadian ini. Justeru, kami menggesa agar siasatan polis ini dilakukan dengan secepat dan seteliti mungkin. Kita tidak boleh membiarkan tindakan seperti ini berlaku terutamanya terhadap seseorang yang menjalankan tugasan profesional mereka.

“Dengan menjalankan penyiasatan dan tindakan yang pantas dan teliti terhadap pesalah yang didakwa kita boleh meningkatkan keyakinan wartawan untuk menjalankan tugas mereka dan membantu menghapuskan budaya ketakutan yang menjejaskan mereka dalam industri media.

“Penganjur-penganjur acara, termasuk dalam kes ini, ahli politik dan parti politik juga harus memastikan langkah-langkah berkesan diambil untuk mencegah sebarang bentuk gangguan semasa acara-acara mereka.

“CIJ akan terus memantau dan menuntut semua pihak memperjuangkan isu ini sebagai sebahagian daripada tuntutan reformasi institusi bagi melindungi tonggak keempat demokrasi kita dan rakyat di Malaysia,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button