Cetak wang: Gerakan Keadilan Monetari sokong Wan Ahmad Fayhsal
GERAKAN Keadilan Monetari menyokong saranan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar kerajaan mencetak wang untuk mambantu dan menghapuskan hutang rakyat.
Pengerusinya Prof. Dato Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, perubahan yang dicadangkan pada struktur monetari ekonomi khususnya sektor perbankan dapat mengurangkan kemelesetan ekonomi secara efektif dan kekal.
“Pendek kata, kami sangat menyokong saranan Wan Ahmad Faysal agar Kerajaan mencetak wang melalui konsep Wang Sovereign dan melancarkan Jubli Hutang di negara ini untuk membiayai defisit belanjawan dan meningkatkan ekonomi.
“Sememangnya sektor perbankan akan menentang penyelesaian seperti ini kerana perubahan yang disarankan dilihat merentas ke dalam batas kuasa dan kepentingan mereka.
“Oleh itu, ini adalah keputusan kerajaan sekarang ini. Mudah-mudahan Kerajaan berani mengambil pendirian demi kepentingan rakyat dan negara, demi kesejahteraan, kedamaian dan keamanan masa depan semua,” kata Dr. Ahamed Kameel.
Jelas beliau, jubli hutang atau penghapusan hutang akan menjadikan keadaan kewangan isi rumah dan perniagaan menjadi selesa.
Jelasnya, dengan Jubli Hutang termasuk penghapusan cukai membolehkan isi rumah dan perniagaan dapat memberikan tumpuan tanpa dibelenggu oleh kewajiban membayar hutang lalu.
“Dalah hal ini, kita perlu perhatikan bahawa punca isu rumah, perniagaan bahkan kerajaan berada dalam keadaan berhutang dari masa ke masa adalah kerana struktur monetori semasa yang telah memberikan hak disisi undang-undang kepada bank komersial untuk mencipta wang yang diperlukan untuk kecairan ekonomi dalam bentuk pinjaman dengan faedah.
“Oleh itu, pinjaman dicipta dari atas angin dengan hanya ditulis dengan pen. Penghapusan hutang yang dibuat oleh sektor perbankan sebenarnya tidak menghilangkan apa-apa yang benar-benar dimiliki oleh bank,” kata Dr. Ahamed Kameel.
Bagi membetulkan struktur monetari negara, beliau menyarankan kerajaan mengambil alih kuasa penciptaan wang daripada bank komersial.
“Kenapakah entiti swasta diberi hak untuk mencipta wang negara sedangkan hak itu seharusnya menjadi milik rakyat?
“Mengambil semula kuasa ini dengan sendirinya akan memberi hanjaran kepada kerajaan dengan pendapatan baru yang banyak.
“Maksudnya dengan mengambil konsep ‘wang soverign’ (Sovereign Money) pendapatan kerajaan dapat ditingkatkan,” katanya.
Beliau menolak sindiran sesetengah pihak kononnya mencetak wang baru menyerupai tindakan Zimbabwe hingga menyebabkan inflasi yang serius di negara itu.
“Ini tidak semestinya berlaku di sini. Berbeza dengan Zimbabwe cadangan kami mewajibkan ciptaan wang dilakukan oleh suatu badan milik negara di bawah kawalan penuh Parlimen dan wang dihalakan hanya kepada ekonomi tampak.
“Banyak negara termasuk AS menyelesaikan kekurangan kecairan mereka dengan mengeluarkan wang baru, juga disebut Quantitative Easing (QE).
“Oleh itu mencetak wang (termasuk mengeluarkan wang digital) untuk membiayai pakej rangsangan adalah wajar dan bukan perkara baru,”katanya.
Menurut Dr. Ahamed Kameel apabila wang baru mengisi kecairan yang hilang ia tidak akan menimbulkan inflasi sebaliknya akan merangsang ekonomi.
“Ahli ekonomi monetari terkenal Milton Friedman menyebut ini sebagai ‘wang helikopter’ yang pada dasarnya menumpahkan wang ke dalam ekonomi yang sedang tenat dengan tujuan untuk mengejutkannya dari jatuh ke kemerosotan yang lebih dalam.
“Kerajaan perlu menyedari bahawa ia memiliki hak mutlak untuk mencipta matawang negara dan hanya kerajaan harus memiliki kuasa ini, memegangnya demi kepentingan rakyat,”katanya.- SM