CEO Pharmaniaga letak jawatan
PHARMANIAGA BERHAD mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Zulkarnain Md Eusope meletakkan jawatannya berkuat kuasa hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan farmaseutikal itu berkata ia adalah perniagaan seperti biasa dengan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) mengambil alih tanggungjawab dan fungsi CEO dalam tempoh sementara.
Ia berkata jawatankuasa itu terdiri daripada Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Zulkifli Jafar; Ketua Pegawai Operasi, Mohamed Iqbal Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Kewangan, Norai’ni Mohamed Ali.
Sementara itu, Jawatankuasa Eksekutif akan melaporkan kepada Pasukan Petugas Jawatankuasa Lembaga PN17 yang baru ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, Datuk Lim Thean Shiang.
Syarikat farmaseutikal itu baru-baru ini melaporkan kerugian bersih sebanyak RM607.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding keuntungan bersih RM172.15 juta pada tahun sebelumnya.
Ia susulan peruntukan RM552 juta untuk ‘stok vaksin COVID-19 yang bergerak perlahan’ sehingga mendorong syarikat itu berdepan masalah kewangan itu dan diletakkan di bawah kategori PN17 Bursa Malaysia.
Pendapatannya merosot 27.1 peratus kepada RM3.51 bilion daripada RM4.82 bilion berikutan terdapat permintaan yang lebih rendah daripada kerajaan untuk pembelian vaksin COVID-19.
Sementara itu Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata Lembaga Pengarahnya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Zulkarnain.
Beliau telah berkhidmat di Pharmaniaga sejak September 2020 dan sepanjang tempoh perkhidmatannya, pihak syarikat, katanya, telah berjaya mencatatkan pertumbuhan yang sangat baik dalam perniagaan untuk sektor swasta di Malaysia, dan juga di Indonesia.
“Lembaga Pengarah mendoakan yang terbaik untuk Datuk Zulkarnain dalam apa jua bidang yang akan diceburinya,” katanya.
EXCO memberi jaminan urusan perniagaan Pharmaniaga akan berjalan seperti biasa dan semua aktiviti operasi bagi perniagaan konsesi dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan perniagaan bukan konsesi dengan KKM, kementerian lain, serta sektor swasta akan kekal utuh dan tidak terganggu.
“Pihak Syarikat turut komited untuk memenuhi semua tanggungjawab dan kewajipan kepada pelanggan dan rakan kongsi perniagaan.
EXCO juga akan memberi tumpuan kepada penyediaan Pelan Regularisasi PN17 yang akan diselia oleh Pasukan Petugas Lembaga Pengarah PN17.
Pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat perkembangan material mengenai perkara ini.
Pharmaniaga adalah sayap perniagaan farmaseutikal untuk Kumpulan Boustead Holdings Bhd dan bersama-sama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), adalah pemegang saham utama Pharmaniaga.
Artikel berkaitan > Keuntungan bersih Pharmaniaga naik 19.9% pada suku pertama 2022