HiburanRencah Hidup

Catatan seorang ibu bernama Nora Ariffin

HATI ibu mana yang tidak hancur apabila anak gadisnya tanpa sedar, melakukan kesilapan yang menarik perhatian umum.

Walaupun apa yang telah terjadi ke atas anak gadis penyanyi Nora Ariffin ini adalah kesalahan dua pihak termasuk budak lelaki berkenaan namun tidak wajar hanya anak gadis Nora sahaja yang menjadi perbualan.

Masyarakat sekeliling tidak perlulah menjatuhkan hukuman terhadap anak gadis Nora. Sebaliknya kita semua mendoakan yang terbaik buat anak gadis ini yang mempunyai masa depan yang panjang.

Kesilapan yang dilakukannya biarkan menjadi pengajaran dalam hidupnya untuk menjadi seorang insan yang lebih baik di masa akan datang.

Malam ini, terbaca catatan Nora di dalam laman Instagram (IG)nya.

Catatan jujur yang lahir daripada seorang wanita berjiwa kental kerana berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Dugaan yang dihadapinya tidak semestinya kita semua hadapi kerana Allah maha mengetahui sama ada dugaan yang diberikanNYA itu mampu dilalui oleh hambaNYA.

Ikuti catatan itsnoraariffin yang mendapat 27,727 tanda like…

Assalamualaikum…
Saya sudah mendengar semua pengakuan.
Saya juga sudah memaafkan semua orang.
Saya juga sudah menghukum anak saya mengikut hukum agama.
Biarlah dia bertaubat & meminta ampun kepada Allah SWT.
Buat masa ni, saya hanya berserah pada Allah SWT.
Moga menjadi pengajaran & iktibar buat semua.
In Shaa Allah (Insya-Allah).
Terima kasih semua.
NORA ARIFFIN.

Catatan Nora itu mendapat 1,455 komen dan rata-rata memberikan komen yang positif.

Terdahulu, Nora menyatakan rasa terkilannya dengan kejadian video tular yang membabitkan anak gadisnya itu.

Sebagai seorang ibu, Nora telah mencuba memberi didikan dan panduan serta pendidikan termasuk memberi apa yang terbaik serta termampu olehnya dalam kapasiti yang terbatas.

Itu catatan Nora sebelum ini dalam IGnya.

Bagaimanapun sebagai manusia biasa, kita semua tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan.

Mengakui anak gadisnya itu masih mentah, masih muda, anak gadisnya itu masih terlalu banyak yang perlu dipelajari.

Ternyata apa yang diungkapkan dan dicatatkan oleh Nora di atas ada kebenarannya.

Bukan mudah untuk mendidik dan membesarkan anak-anak, tidak kira anak lelaki ataupun anak perempuan dengan dunia yang penuh pancaroba.

Apatah lagi ketiadaan Allahyarham Johan Nawawi, suami dan belahan jiwa Nora, pasti sukar untuk Nora berhadapan dengan situasi hari ini tanpa arwah Johan.

Namun Nora tabah, kuat dan kekuatan semangatnya itu bukan sahaja diperoleh menerusi sokongan anak-anaknya dan keluarga tetapi juga peminat tegar dan masyarakat sekeliling.

Jika anda semua masih ingat lagi, selepas ketiadaan arwah Johan, setahun lamanya Nora tidak muncul di khalayak dan tidak aktif dalam bidang seni.

Hari ini, jangan sekali-kali kita semua menghukum dan mengenepikan penyanyi wanita bersuara lunak ini.

Beliau meminta ruang untuk merenung perjalanan kehidupannya sekeluarga. Kita hormati permintaan beliau itu yang tidak perlu dibayar walau sesen pun.

Nilainya ialah ketenangan buat jiwa Nora dan anak-anak.

Berilah sokongan padu kepada beliau, ibu tunggal yang menggalas tanggungjawab sebagai ‘ibu dan bapa’ kepada anak-anak.

Doakanlah yang terbaik buat Nora dan anak-anaknya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button