Politik

Calon PM: Maaf, AMK tidak sokong Tun M, tidak sokong kerosakan kali ke-2

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Malaysia tidak menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ke-9 bagi pihak Pakatan Harapan.

Ketua AMK Akmal Nasir berkata, kaedah memilih kejahatan dari kalangan jahat-jahat ‘lesser than two evils’ perlu dihentikan.

Akmal mengulas kenyataan DAP melalui Anthony Loke semalam yang telah menyatakan secara terbuka mengenai kesediaan untuk menyokong Mahathir sekali lagi sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, pendirian beliau dan AMK adalah sama iaitu tidak akan menyokong kerosakan yang sama buat sekian kalinya.

“Maaf, saya dan rakan-rakan AMK tidak bersetuju. Saya percaya pendirian kami ini mewakili suara akar umbi PKR dan pendokong Pakatan Harapan.

“Memang benar, jika dibiarkan Perikatan Nasional berkuasa, maka keadaan akan terus bertambah mudarat. Tetapi sudah-sudahlah dengan kaedah memilih kejahatan dari kalangan jahat-jahat ‘lesser than two evils’ kata Akmal.

Akmal menegaskan, kejatuhan kerajaan PH tidak akan berlaku sekiranya Perdana Menteri ketika itu tidak meletakkan jawatan tanpa perbincangan dengan PH.

Beliau berkata, pintu belakang dibuka jauh lebih awal dengan mandat rakyat telah dikhianati dan dipijak begitu sahaja.

“Sebagai contoh, KEADILAN tidak pernah mencadangkan Azmin dan kartelnya untuk dilantik sebagai Menteri, tetapi beliau angkat juga dan tubuh kabinet ikut seleranya.

“Dasar pecah perintah sebegini rupa menyebabkan habis porak-peranda parti. Sampai sekarang, tindakan Azmin dengan Langkah Sheraton-nya langsung tidak dikecam.

“Bila ditanya atau mohon pertimbangan, mulalah ditunjuk taring kuasa eksekutif,” kata Akmal.

Beliau tuurt menuduh perjuangan PH diketepikan dan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Presiden seperti dasar PH, peralihan, Majlis Tindakan Negeri dan lain-lain terus-menerus tidak dipedulikan.

“Itulah, hendak ditegur tidak boleh sebab manifesto bukan kitab suci.

“Macam mana nak nafikan cerita komplot apabila berduyun-duyun kemasukan Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu disambut mesra yang mana hari ini terbukti tiada seorang pun setia dengan PH.

“Dalam keadaan PH diserang teruk dengan sentimen agama dan perkauman, bukan hendak diredakan tetapi ditambahnya perpecahan seperti melalui Kongres Maruah Melayu,” luah Akmal.

Justeru menurut beliau, PH sewajarnya bergerak melangkaui sentimen dan pencaturan politik sedemikian.

Mereka tidak harus lupa kepada sifat dan jati diri yang berpegang kepada prinsip saling hormat-menghormati walaupun berlainan bangsa, agama atau budaya.

“Tak perlulah diceritakan satu per satu, cukuplah sekadar peringatan.

“Buatlah penjanjian atau mekanisme macam mana sekali pun, bila asyik mungkiri (langgar janji) memang susah hendak dipercayai lagi.

“Kekalkanlah mempertahankan prinsip dan kebenaran, malah ini juga demi kebaikan bersama, demi Malaysia,” kata Akmal.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button