Negeri

cadangan perjalanan antara ‘zon hijau’ disambut baik pemimpin pelancongan

PEMIMPIN industri pelancongan menyambut baik cadangan membenarkan perjalanan antara “zon hijau” bebas jangkitan Covid-19 kerana larangan perjalanan rentas negeri sedia ada memberi tamparan besar buat perniagaan mereka.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Tan Kok Liang berkata:        “sepatutnya sudah lama” kerajaan melaksanakan cadangan itu.

“Sebenarnya, selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir, kami cukup optimis tetapi PKP bersyarat terbaru ini terutamanya di Lembah Klang seolah-olah membunuh perniagaan kami.”

Katanya, pengusaha pelancongan menjadi mangsa sekatan menyeluruh dan pihak berkuasa perlu mengkaji untuk mengelakkan dasar sedemikian dilaksanakan.

“Kita perlu belajar hidup dengan virus ini. Kita tidak boleh ambil satu pendekatan untuk semua.

“Dan sekarang kita menanggung akibatnya. Kita puji rancangan (zon hijau) ini dan berharap kerajaan dapat mempercepatkan pelaksanaannya.”

Semalam, Menteri Kanan Kluster (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, Putrajaya mengkaji kemungkinan membenarkan perjalanan rentas negeri antara zon hijau di negeri dikenakan PKPB untuk meningkatkan pelancongan domestik.

Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya diarah bekerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan untuk mengemukakan cadangan lebih terperinci.

Satu sumber memberitahu FMT, kerajaan mungkin memberi lampu hijau kepada cadangan itu selepas butirannya diperhalusi.

Katanya, sejumlah menteri menyokong cadangan itu yang dikemukakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri.

“Lebih ramai dalam Kabinet semakin sedar ini adalah penyelesaiannya kerana tidak jelas bila vaksin boleh disediakan untuk orang ramai. Selagi rakyat tidak dapat melancong, industri ini tidak akan pulih.”

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (Mita), Uzaidi Udanis menantikan cadangan itu dilaksanakan.

“Selagi semua negeri dianggap seperti zon merah, ekonomi mereka tidak boleh pulih.

“Kita perlu lakukannya, semuanya sudah terhenti sekarang dan industri sedang menderita, jadi membenarkan perjalanan bersasar akan membantu.”

Beliau menggesa pemain industri melaksanakan SOP secara ketat jika cadangan itu dilaksanakan kerana punca pendapatan mereka bergantung kepada mereka memainkan peranan untuk mengelakkan lonjakan kes Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng menyambut baik cadangan itu, walaupun kerajaan perlu membina semula keyakinan pelancong.

“Buat masa ini, kita melihat sentimen pasaran sensitif terhadap perubahan situasi.” – FMT – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button