Cabaran Nik Nazmi cubaan untuk alih perhatian isu MAHB – Sanusi
CABARAN yang dilontarkan oleh Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad agar pimpinan Perikatan Nasional (PN) di Kedah dan Kelantan menutup semua kilang milik syarikat BlackRock Inc adalah taktik mengalih pandangan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ia hanya sekadar satu bentuk alasan bagi mengelak tekanan yang diberikan rakyat kepada kerajaan tentang isu BlackRock.
Katanya, apa yang dipertikai berkaitan BlackRock adalah keputusan kerajaan menjual sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).
“Bukan pertikai sektor lain seperti modal dan perkilangan (melibatkan BlackRock) kerana lapangan terbang ini penting sebagai pintu masuk negara.
“Cabaran tutup kilang di Kedah adalah untuk alih pandangan sebab tekanan berat sedang dihadapi Menteri Kewangan, Khazanah dan Kerajaan Persekutuan jadi dia cabar benda-benda tak logik,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Anugerah Sanjungan Ilmu di Alor Setar, hari ini.
Dalam ceramahnya di Sungai Bakap kelmarin, Nik Nazmi mencabar pimpinan PN yang meminta kerajaan tidak mengadakan sebarang urusan dengan BlackRock untuk menutup semua kilang milik syarikat itu di Kedah dan Kelantan.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, BlackRock bukan sahaja antara pelabur terbesar dalam pasaran saham Malaysia, malah ia juga mempunyai banyak kilang di Kedah dan Kelantan.
Sanusi juga turut mencabar Nik Nazmi mendedahkan kilang-kilang di dua negeri itu yang dimiliki BlackRock dan menjelaskan secara terperinci peruntukan undang-undang yang membolehkan kilang terlibat ditutup.
“Pandangan saya masa kilang itu dibuka sudah ada atau tidak genosid di Palestin, masa itu orang pun tak tahu BlackRock ini apa, tak pernah timbul isu itu.
“Jadi dedahlah kilang apa dan suruh dia tunjuk di mana kilang itu dan undang-undang apa nak tutup kilang. Orang berusaha nak buka kilang, dia nak tutup, menteri apa macam itu,” katanya. – SM