Politik

Bung Moktar, Abdul Rahman akhirnya berjabat tangan

DUA pemimpin UMNO di Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan akhirnya berjabat tangan.

Kedua-dua pemimpin itu dilihat bersedia untuk berganding bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung 26 September ini.

Ini kerana sebelum ini, Bung dan Abdul Rahman sebelum ini berselisih berhubung hala tuju UMNO Sabah terutama menjelang PRN negeri itu.

Ia susulan Abdul Rahman menyatakan tidak setuju terhadap pelantikan Bung sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi PRN Sabah.

Beliau menyatakan pendiriannya secara terbuka pada hari sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Bung Moktar.

Bagaimanapun, persengkataan berkenaan berakhir apabila gambar mereka berjabat tangan dimuatnaik Ahmad Zahid dalam ciapan Twitternya.

“Ketepikan perbezaan pendapat, noktahkan segala perbalahan.

“Kerja kuat dan laksanakan semangat berpasukan agar BN menang semula pada PRN Sabah.

“Inilah peluang kedua diberikan kepada UMNO/BN untuk terus memperjuangkan nasib rakyat. Ingatan kepada ahli UMNO Sabah pagi ini.”

Demikian kata Ahmad Zahid dalam ciapannya hari ini mengulas gambar pertemuan dalam Majlis Perjumpaan Khas beliau bersama kepimpinan BN di Sabah.

Dalam pada itu, Bung Moktar turut mengesahkan beliau berdamai dengan Abdul Rahman dan bersedia melupakan kesilapan itu.

“Apa yang berlaku sebelum ini adalah perbezaan pendapat di kalangan pemimpin dan kita hormatinya secara positif.

“Dalam perjuangan, pemimpin Umno perlu bersatu. Maka kesilapan perlu dilupakan,” katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini.

Sementara itu Abdul Rahman dalam ciapan Twitternya juga menyatakan pendirian yang sama bagi memastikan kemenangan BN dalam PRN Sabah.

Menurutnya, perselisihan pendapat antara pemimpin adalah lumrah politik, namun dalam saat ini BN ada misi lebih penting dan penyatuan semua pimpinan di Sabah adalah perlu.

“Ada masa untuk tak bersetuju tetapi sekarang masa untuk BN dan rakan-rakan menang di Sabah. Untuk sekarang, ia lebih penting,” katanya.

Terdahulu, Abdul Rahman mendakwa pelantikan Bung Moktar disifatkan sebagai ‘langkah bunuh diri’ kerana Ahli Parlimen Kinabatangan itu sedang berhadapan kes rasuah di mahkamah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button