Bukti SPR, pejabat AG senget sebelah – Annuar Musa
KENYATAAN berdolak-dalik antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) mengenai perlunya permit untuk kempen dari rumah ke rumah pada pilihan raya kecil parlimen Tanjung Piai jelas menunjukkan sikap senget sebelah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Setiuasaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, itu juga sangat memalukan apabila dua agensi kerajaan memberikan kenyataan berbeza.
“Sesuatu yang memalukan apabila SPR mengeluarkan arahan bahawa walkabout (tinjau mesra) dan kempen dari pintu ke pintu semasa PRK memerlukan permit.
“Tetapi Peguam Negara mengeluarkan fatwa sebalik,” katanya melalui hantaran di twitter.
Kata Annuar, ini jelas merupakan satu percubaan untuk menghalang pergerakan Barisan Nasional (BN).
“Jelas kantoi percubaan untuk membantutkan BN. Satu lagi bukti mereka senget sebelah, Semakin rosak imej SPR,” katanya.
SPR baru-baru ini mengumumkan setiap calon dan parti perlu memohon permit untuk berkempen dari rumah ke rumah.
Pengumuman tersebut mencetuskan bantahan pelbagai pihak terutamanya pembangkang yang menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.
Sementara itu Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas pula berkata, penjelasan wajar diberikan berhubung kontroversi yang berbangkit dari isu keperluan permit polis bagi kempen secara bergerak dan dari rumah ke rumah oleh enam calon serta parti-parti mereka bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu ini.
Katanya, pengumuman yang dibuat oleh pihak polis itu adalah menurut Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Plihanraya.
Namun, katanya, peruntukan tersebut tidak secara jelas merujuk kepada kempen bergerak mahu pun kempen dari pintu ke pintu.
Beliau mengingatkan bahawa mengundi merupakan hak asasi yang jelas termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, semenjak 1965 14 Pilihan Raya Umum serta ratusan PRK telah diadakan bagi membolehkan para pengundi memilih ahli Parlimen dan wakl rakyat mereka.
“Aktiviti kempen bagi tujuan pilihan raya-pilihan raya ini adalah penting dalam sistem demokrasi parlimen,” kata Tommy. -SM