Bukan sekadar pengikut UstazLah tekankan kepentingan ilmu dalam dunia media Sosial
PEMPEGARUH media sosial yang terkenal dengan dakwah, Ustaz Abdullah Abdol Razak atau lebih dikenali UstazLah, memberi pesanan kepada orang ramai tentang ilmu ia merupakan asas utama bagi sesiapa yang ingin menceburi bidang penciptaan kandungan.
Menurutnya, memiliki pengaruh besar di media sosial tidak seharusnya digunakan hanya untuk populariti atau keuntungan, tetapi juga sebagai platform untuk menyampaikan nilai positif dan membina masyarakat berilmu.
Beliau menyeru semua, bukan sahaja pempengaruh tetapi juga masyarakat umum, agar terus menuntut ilmu tanpa henti.
“Tuntutlah ilmu dan persiapkan diri dengan pendidikan setinggi yang mampu agar kita dapat memberi input yang baik kepada orang ramai. Dengan ilmu, kita bukan sahaja boleh mendidik tetapi juga membentuk masyarakat yang hebat,” katanya.
Ustaz Abdullah, yang dikenali sebagai UstazLah di media sosial, menjelaskan bahawa jumlah pengikut yang ramai boleh membantu membina jenama dan menjana pendapatan. Namun, beliau mengingatkan bahawa kerjaya sebagai pempengaruh adalah bersifat bermusim.
“Saya sedar kerjaya ini tidak akan kekal lama. Oleh itu, saya membina platform perniagaan untuk memastikan kedudukan saya terus stabil. Pada masa yang sama, saya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajian Islam di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA. Ini bukan sahaja untuk menambah ilmu tetapi juga untuk mengukuhkan jenama saya sebagai pempengaruh berilmu,” tambahnya.
Beliau turut membetulkan persepsi bahawa menjadi pencipta kandungan tidak memerlukan pendidikan tinggi.
“Bagi saya, pandangan ini sangat tidak tepat. Pendidikan adalah teras kehidupan. Ramai anak muda hari ini lebih mementingkan populariti daripada ilmu, sedangkan ilmu adalah kunci kepada kejayaan yang berkekalan,” jelasnya.
UstazLah berkongsi bahawa kejayaannya menamatkan PhD dalam tempoh tiga tahun setengah bukan sahaja satu pencapaian peribadi, tetapi juga satu tanggungjawab untuk memberikan impak positif kepada masyarakat.
“Setiap perkataan yang kita ucapkan harus bersandarkan Al-Quran dan sunnah. Ini tanggungjawab besar yang memerlukan ilmu yang tepat dan mendalam,” katanya lagi.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam, turut memuji pencapaian Ustaz Abdullah, menganggapnya sebagai inspirasi kepada pencipta kandungan lain.
“Beliau menamatkan pengajian dalam tempoh mencabar semasa pandemik, menggunakan mod pembelajaran hibrid. Ini bukti bahawa sesiapa pun, di mana sahaja, mampu berjaya jika ada kesungguhan dan disiplin,” katanya.
Dengan gabungan ilmu dan pengaruh, UstazLah terus berusaha menjadi contoh teladan kepada generasi muda, membuktikan bahawa kejayaan sebenar bukan sahaja diukur melalui populariti, tetapi juga melalui ilmu yang membawa manfaat kepada masyarakat.