Nasional

Budak 2 tahun maut selepas terjatuh dari kerusi bayi di restoran

SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari kerusi bayi ketika sedang makan bersama ibu dan bapanya di sebuah restoran di Taman Sutera, Johor Bahru, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baru Utara (JBU), Supt Fariz Ammar Abdullah berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada bapa mangsa pada pukul 5.23 petang.

“Siasatan mendapati mangsa bersama ibu bapanya pergi ke restoran berkenaan di Taman Sutera kira-kira pukul 2 petang. Mangsa didudukkan di atas kerusi bayi (baby chair) yang disediakan oleh restoran berkenaan.

“Sekitar pukul 3 petang, mangsa tiba-tiba menendang meja makan menyebabkan dia terjatuh bersama dengan kerusi yang diduduki. Ekoran itu, kepala mangsanya terhantuk di atas lantai.

“Mangsa menangis dengan kuat sebelum pengsan. Kejadian itu disaksikan oleh pekerja restoran,” kata Fariz Ammar dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke klinik berhampiran namun dinasihatkan oleh doktor supaya membawa mangsa ke hospital memandangkan keadaannya serius.

“Bapa kemudiannya membawa mangsa ke hospital swasta di Iskandar Puteri dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,” kata Fariz Ammar.

Katanya, bedah siasat dibuat ke atas mangsa di Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini untuk mengetahui punca kematian.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button