Politik
Trending

Bubar DUN Sabah: Pembangkang masih salahkan Putrajaya

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyebabkan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah berpunca daripada tindakan Putrajaya.

Dakwaan tersebut masih lagi dimainkan politikus daripada pembangkang dengan menuduh tindakan Tan Sri Musa Aman menyebabkan PRN terpaksa diadakan.

Ini kerana kempen PRN tersebut menjadi punca kepada penyebaran Koronvirus (Covid-19) yang berlipat kali ganda berbanding penyebaran pada peringkat awal Mac lalu.

Malah, Yang Dipertua Negeri Sabah dikatakan menolak peralihan kuasa tersebut walaupun ternyata ketika itu Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kehilangan sokongan.

“Rakyat cukup kecewa dengan tindakan Putrajaya yang mencetuskan pembubaran DUN Sabah baru-baru ini.

“Perlu diingat, PRN itu diadakan apabila pihak kerajaan mahu menukar kerajaan Sabah dengan dakwaan ada perpindahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Apabila Yang di-Pertua Negeri Sabah menolak permohonan tersebut, ia kemudian membawa kepada PRN.

“Ia berlaku ketika negara mula bergelut dengan gelombang ketiga Covid-19.

“Dengan adanya PRN Sabah berlakulah jangkitan yang lebih meluas hingga merebak ke seluruh Semenanjung Malaysia.

“Rakyat memang melihat semua ini berlaku akibat kerakusan nafsu politik pihak yang mahu menjatuhkan Warisan sehingga tergamak menggadaikan keselamatan rakyat.”

Demikian pandangan Pengerusi Amanah Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang diterbitkan portal Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian mendakwa sekiranya Kerajaan Negeri Sabah tidak diganggu, jangkitan tidak akan merebak dengan teruk sehingga ke Semenanjung.

Bagaimanapun, pandangan beliau yang menuduh Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mengganggu kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) wajar dipersoalkan.

Ini kerana, Raja Kamarul Bahrin Shah dalam kenyataannya tidak menyentuh langsung parti itu tidak pernah menang dalam pilihan raya untuk membentuk kerajaan negeri.

Walhal mereka membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pun selepas beberapa ADUN lompat parti untuk menyokong Shafie Apdal.

Hal tersebut berlaku selepas BN memenangi PRU-14 di Sabah, cuma dengan majoriti yang tipis.

Walau bagaimanapun, dalam kenyataan sama Raja Kamarul Bahrin Shah menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersikap adil dalam penguatkuasaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Menurutnya, anggota Kabinet sepatutnya tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa sekiranya melanggar SOP yang ditetapkan.

“Ugutan hendak merotan itu benar-benar menyinggung perasaan rakyat kerana mereka menuntut agar keadilan dilakukan ke atas semua.

“Kalau rakyat diminta memakai pelitup muka, menteri pun buatlah hal yang sama.

“Jika rakyat pulang luar negara diwajibkan kuarantin diri sendiri dan dikenakan tindakan kalau gagal, tidak ada sebab mengapa seorang menteri boleh dibiarkan melanggar peraturan berkenaan.

“Semalam, kerajaan mengumumkan rakyat akan disaman segera – on the spot – sebaik saja didapati melanggar SOP.

“Ia diumumkan selepas hampir dua bulan menteri yang ingkar itu masih bebas daripada pendakwaan atau hukuman.

“Apakah begitu rumit hendak mendakwa seorang menteri untuk kesalahan yang biasanya cepat saja tindakan diambil jika dilakukan orang biasa?

“Muhyiddin sebagai abah bukan hanya perlu berlaku adil kepada anak-anaknya, tetapi dia juga perlu kelihatan – di mata rakyat – bersungguh untuk berlaku adil kepada semua,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button