Nasional

Buang beras: Terpulang peguam negara dakwa

Kawalselia Padi dan Beras (KPB) membuka kertas siasatan terhadap puluhan kampit beras dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Ketua Pengarah KPB, Azman Mahmood berkata, kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 kerana pelupusan beras tanpa prosedur ditetapkan yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita sudah membuka kertas siasatan dan dalam proses untuk mengambil tindakan, namun semuanya terpulang kepada peguam negara untuk mendakwa,” katanya menurut Berita Harian.

Azman berkata, kejadian itu adalah kali pertama berlaku dalam negara dan pihaknya tidak mahu ia berulang.

“Dengan adanya pendakwaan seperti ini ia akan memberi pengajaran kepada semua pihak termasuk individu, peruncit serta pemborong,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial timbunan beras, tin sardin dan tepung di kawasan pembuangan sampah berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan dalang di sebaliknya.

Kurang 24 jam seorang pemimpin Umno tampil memohon maaf dan mengakui bertanggungjawab atas perkara itu.

Bekas timbalan menteri dalam negeri, Ismail Mohamed Said, menjelaskan semuanya adalah stok simpanan untuk diberikan kepada orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Ketua Umno Kuala Krau yang kalah pada PRU15 turut menjelaskan barangan dapur itu yang kini sudah rosak dibeli sebelum pilihan raya menggunakan peruntukan peribadi dan tiada sebarang pemberian kepada orang awam ketika kempen.

Bagaimanapun, katanya, pada 5 April lalu beliau menerima aduan daripada jiran menyatakan ada bau busuk di stor simpanan barangan dapur tersebut dan pemeriksaan mendapati ada beberapa bangkai tikus manakala beras dicemari bubuk/kutu.

Beliau berkata, sebahagian beras itu diserahkan kepada penternak ayam dan itik di sekitar manakala bakinya dilupuskan di tempat pembuangan sampah. – SM

BACA Bekalan beras sebagai makanan ruji negara mencukupi

BACA Apabila ubi kayu ganti beras, alamak! Nasi tak ada

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button