NasionalNegeri

Buah “emas” harumanis mula tarik perhatian pencuri

SESUAI dengan gelaran buah “emas”, harumanis kini perlu dikawal rapi apabila sudah mula kedengaran ia semakin menarik perhatian pencuri.

Dipercayai pencuri harumanis ini melakukan kerja ini dengan “berteman” dan akan menggunakan kenderaan sama ada kereta atau lori bagi memudahkan kerja memuatkan buah.

Pencuri harumanis tidak berhati perut apabila meninggalkan sebiji dua saja buah pada setiap pokok.

“Pencuri ini juga tidak berhati perut apabila habis kesemua buah diambil, kalau tinggalpun adalah sebiji dua pada setiap pokok,” kata Fatehah Radzi, 27 apabila kesemua buah pada kelima-lima pokok harumanis ditanam ayahnya telah dicuri Isnin lalu.

Disebabkan kesal dengan kejadian ini, Fatehah kemudiannya memuatkan status di sebuah grup di Facebook (FB) supaya sesiapa yang mempunyai pokok harumanis yang berbuah supaya berwaspada dengan kelicikan pencuri buah ini.

“Dianggarkan kesemuanya 300 biji lesap begitu saja pada hal tahun ini buat pertama kali berbuah lebat dan besar,” katanya ketika ditemui Suara Merdeka bersama dengan kakaknya, Azlina, 42 di Taman Seri Pulai, Kangar.

“Ayah yang menanam lima pokok ini di tanah kosong pada bahagian tepi rumah kakak yang kini tinggal di Johor,” katanya.

Fatehah bersyukur kerana dia sempat menghantar 200 biji harumanis kepada kakaknya di Johor.

Ini saja yang ditinggalkan pencuri harumanis.

Beliau berkata, rumah itu memang tiada penghuni kerana dijadikan sebagai homestay kemungkinan telah diintai oleh pencuri sebelum ini.

“Pekerja yang datang untuk memperbaik penghawa dingin menyedari ada sebuah kereta saga merah beberapa kali lalu lalang di tepi rumah ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kejadian kehilangan buah itu hanya disedari selepas kakak dan abang iparnya datang ke rumah itu pada sebelah petang setelah kerja memperbaiki penghawa dingin selesai.

Fatehah Radzi

Fatehah berkata, jiran juga tidak menyedari kejadian ini kerana kemungkinan pencuri memanjat pagar belakang rumah pada waktu tengah hari.

Sementara itu, Azlina berkata, dia ada juga mendengar jirannya memberitahu nampak satu kejadian mencuri di kebun harumanis yang terletak jauh dari rumah orang.

“Jiran saya ingat pemilik kebun yang datang dengan lori untuk mengutip buah tetapi sebenarnya telah dicuri,” katanya. – SM

BACA Musim harumanis dijangka lebih panjang tahun ini hingga Julai

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button