Bot terbalik: Remaja perempuan 14 tahun dikhuatiri lemas
SEORANG remaja perempuan dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya terbalik di perairan Kampung Semawang, Sandakan, pukul 8.45 malam tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, 14, dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang ke kampung bersama tiga individu lain.
Difahamkan mangsa menaiki bot berkenaan dari Kampung Semawang Darat pada pukul 6 petang sebelum bot yang digunakan terbalik.
Tiga lagi individu yang sama-sama menaiki bot dengan mangsa berjaya diselamatkan penduduk kampung berdekatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya kemudian menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.50 malam.
Menurut Jimmy, sejurus menerima panggilan itu sepasukan lima anggota bomba dari BBP Sandakan dihantar ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Bagaimanapun, malam tadi, mangsa belum ditemui dan operasi SAR ditangguh.
“Operasi SAR disambung hari ini,” katanya. –FMT-SM