Boria Madani 2024, perjuangan memelihara warisan seni tradisional
BORIA-Madani 2024 merupakan sebuah platform yang bertujuan memperkenalkan seni persembahan tradisional Boria kepada pelajar universiti, pelajar sekolah, dan masyarakat umum.
Program ini mengetengahkan seni Boria kepada pelbagai lapisan kaum melalui bengkel dan pertandingan, sekaligus memupuk semangat perpaduan seni rentas budaya.
Selain memberikan pendedahan melalui pembelajaran tarian Boria dan pengalaman persembahan langsung, program ini juga menawarkan peluang pertandingan bagi pelajar universiti, pelajar sekolah, dan masyarakat umum. Bagi memperluaskan penglibatan peserta dari luar Pulau Pinang, program ini telah dilangsungkan di Lembah Klang.
Melalui pendekatan ini, program ini bukan sahaja memberi ruang kepada peserta untuk mendalami seni Boria tetapi juga memperkukuhkan hubungan sesama penggiat seni Boria dari seluruh Malaysia. Usaha ini selari dengan matlamat Boria-Madani 2024 untuk memupuk pemahaman yang lebih mendalam terhadap warisan budaya Malaysia di kalangan pelbagai peringkat masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada program ini, Bengkel Boria khas telah diadakan pada 13 Disember 2024 bagi kumpulan yang bakal menyertai pertandingan. Kemuncaknya, pada 21 Disember 2024 (Sabtu), Pertandingan Boria-Madani 2024 berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Pro-Canselor, Universiti Selangor (UNISEL), Kampus Shah Alam, Selangor. Program yang dianjurkan oleh ARENA PINANG SDN BHD ini telah berjaya menarik penyertaan daripada lapan kumpulan yang mempamerkan bakat serta kreativiti mereka dalam seni persembahan Boria.
Penganjuran program ini telah mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta kerjasama strategik daripada UNISEL, Kampus Shah Alam. Pihak penganjur turut melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada semua peminat seni Boria yang hadir untuk memeriahkan acara ini.
“Semuanya sporting habis,” ujar pihak penganjur, menggambarkan suasana penuh semangat di kalangan penonton dan peserta.
Razali Hussain, Pengarah Urusan Arena Pinang Sdn Bhd, menyatakan kerisauan beliau terhadap kelangsungan seni Boria. Dalam ucapannya, beliau menyeru semua aktivis Boria, khususnya di Pulau Pinang, untuk terus berusaha memartabatkan warisan seni budaya yang unik ini. “Bersatulah demi kelangsungan Warisan Boria,” tegas beliau.
Sebarang kekurangan dan kesilapan sepanjang program ini berlangsung adalah kelemahan dari pihak penganjur. Pihak ARENA PINANG Sdn Bhd merakamkan ucapan maaf dan komitmen untuk terus memperbaiki kualiti penganjuran acara seni pada masa akan datang.