Boney M kembali dengan konsert Jubli Emas di Kuala Lumpur
KUMPULAN penyanyi Hollywood yang popular dengan irama disko, Boney M, bakal mengadakan konsert Jubli Emas di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 12 Januari 2025 sempena Jelajah Ulang Tahun ke-50 mereka.
Konsert ini dijangka bakal memukau peminat dengan lagu-lagu ikonik mereka seperti “Daddy Cool”, “Sunny”, “Ma Baker”, “Rasputin”, “Hooray! Hooray! It’s a Holi-Holiday”, “Brown Girl In The Ring” dan banyak lagi yang masih digemari sejak era 1970-an.
Mengenang perjalanan seni Boney M, kumpulan ini bermula apabila mendiang penerbit muzik Frank Farian menerbitkan lagu “Baby Do You Wanna Bump” di bawah nama samaran.
Tanpa diduga, lagu tersebut mendapat sambutan hangat dan Farian akhirnya menggupah Maizie Williams untuk membuat penampilan secara langsung.
Maizie kemudian disertai oleh Marcia Barrett, Liz Mitchell, dan mendiang Bobby Farrell. Dengan muzik yang enerjik dan unik, Boney M mencipta fenomena dunia, dengan album mereka memecah rekod jualan dan menduduki tangga teratas di pelbagai carta muzik.
Kini, lima puluh tahun kemudian, Boney M masih mampu menarik perhatian penonton dalam setiap konsert jelajah mereka.
Maizie Williams yang mengetuai persembahan mampu memikat penonton dari pelbagai peringkat usia dengan rangkaian lagu-lagu hits yang tidak jemu didengar. Persembahan mereka tidak hanya menarik kerana muzik, tetapi juga dengan gerak tari yang menggetarkan dan penuh dengan tenaga.
Konsert ini dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment dengan Front Row Entertainment sebagai penganjur bersama. Tiket untuk konsert boleh didapati di www.ticketingtix.com dan www.frontrow.asia mulai 15 November 2024 (Jumaat), jam 12 tengah hari. Harga tiket adalah RM688 (VIP), RM438 (CAT 1), RM388 (CAT 2) dan RM188 (CAT 3), tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4.
Untuk maklumat terkini, ikuti Lo-Fi Entertainment di Instagram @lofi.entertainment dan Facebook @lofi.entertainmentkl.