MELAKA 15 Februari – Seorang bomoh warga emas hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini atas pertuduhan mencabul pesakitnya sewaktu membuat rawatan dalam kejadian yang berlaku bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Raba’ai Parman, 66, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan cabul dengan menyapukan limau nipis dan telur ayam ke atas badan mangsa yang juga seorang wanita berusia 41 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di rumahnya di Taman Rambai Utama, Melaka Tengah kira-kira pukukl 9.00 malam, pada 11 Januari lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Difahamkan mangsa bersama rakan lelaki dan anak perempuannya datang ke rumah suspek yang dipanggil ‘Atok’ untuk mendapatkan rawatan selepas merasa emosinya sering tidak stabil dan kerap marah.
Mangsa mendakwa dia diarahkan berkemban dan mandi sebelum tertuduh memulakan proses rawatan sehingga cuba meraba alat sulit wanita berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM4,000 dengan mengambil kira kes berkenaan adalah melibatkan cabul pesakit.
Tertuduh yang diwakili peguam R. Senthil merayu jaminan rendah diberikan memandangkan anak guamnya menghidap pelbagai masalah kesihatan selain tidak bekerja dan menanggung isteri yang kurang sihat.
Mohamad Izwan kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 serta mengarahkannya untuk tidak mengganggu dan mendekati mangsa yang juga saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 28 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – SM