BanjirBencana alamNegeri

Bomba Perlis jalani D’MEX 2022 siap sedia hadapi bencana banjir

PENDUDUK di Kampung Wang Besar dan Tebing Tinggi, Bintong, Perlis tiba-tiba menjadi gempar apabila suasana dibingitkan dengan bunyi siren kenderaan Bomba yang bertali arus.

Masing-masing keluar dari rumah untuk mengetahui apa kejadian sedang berlaku di perkampungan di Banjaran Nakawan ini yang selama ini sunyi.

Ada yang cuba merisik ke tempat kejadian berdekatan dengan terowong tebatan banjir Tebing Tinggi tetapi gagal untuk mendapat sebarang maklumat kejadian kerana kawasan itu dikawal rapi.

Begitu juga pengguna jalan raya yang melalui “fly over” projek tebatan banjir ini juga berdebar-debar apabila melihat kesibukan anggota Bomba tetapi diarah untuk meneruskan segera perjalanan bagi mengelak berlaku kesesakan.

Rupa-rupanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis sedang melakukan Latihan Pengurusan Bencana D’MEX 2022 di kawasan ini.

Pada senario pertama, tiga dari 11 peserta program kayak anjuran Kelab Rekreasi di bawah kelolaan Kelab Sukan Negeri Perlis terlibat dalam kemalangan setelah kayak dinaiki terbalik di terowong berkenaan.

Bagaimanapun akhirnya mangsa terlibat ditemui setelah diselamatkan oleh Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Perlis dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

Manakala bagi senario kedua pula Bomba Kuala Perlis menerima panggilan kecemasan berlaku tanah runtuh di sekitar Bukit Kampung Wai.

Pada kejadian itu juga terdapat sekumpulan 32 pendaki yang perlu diselamatkan apabila hubungan jalan darat terputus.

BBP Kuala Perlis membawa keluar kesemua mangsa menggunakan bot penyelamat BBP Kangar melalui terowong tebatan banjir berkenaan.

Manakala senario ketiga, berlaku kemalangan melibatkan dua kereta di di “flyover” berdekatan terowong tebatan banjir berkenaan.

Terdapat seorang mangsa yg tersepit dan seorang lagi cedera ringan.

BBP Simpang Empat sampai ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa tersepit yang kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk membawa mangsa ke hospital.

Latihan D’MEX ini telah dihadiri oleh Pengarah Bomba Perlis, Ruhisha Haris, Timbalan Pengarahnya, M. Fatta M. Amin dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM Negeri dan pegawai kanan.

Ruhisha berkata, yang terlibat dalam latihan ini adalah BBP Kangar 10 anggota, BBP Kuala Perlis (enam), BBP Simpang Empat (sembilan), BBP Arau (dua) dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pula lapan orang.

Selain itu katanya, agensi lain yang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiga orang, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) empat orang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula lapan orang.

Beliau berkata, pihaknya juga menjemput sepuluh anggota Bomba Padang Besar, Thailand sebagai pemerhati latihan berkenaan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button