Uncategorized

Padah potong barisan, 252 pemandu disaman

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan saman terhadap 252 pemandu kenderaan atas kesalahan memotong barisan sebelah kiri sewaktu trafik sesak sepanjang tempoh tiga hari
pelaksanaan Ops Rentas Sempadan Wilayah Selatan sejak kelmarin berakhir hari ini.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Sharif berkata, kesalahan tersebut adalah penyumbang terbesar penguatkuasan yang dijalankan menyaksikan sebanyak 662 kenderaan diambil tindakan daripada 956
yang diperiksa sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, antara alasan utama kenderaan terbabit memotong barisan sebelah kiri kerana hendak cepat dan tidak mahu menunggu giliran.

Beliau berkata, tiga lokasi utama kenderaan terbabit melanggar peraturan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ialah di Cheng Height, Bertam Malim dan Padang Keladi.

“Apabila kita melaksanakan Ops Sempadan membabitkan koloborasi dengan JPJ Negeri Sembilan dan Johor kesalahan memotong barisan sebelah kiri adalah paling tinggi dalam masa tiga hari penguatkuasaan dilaksanakan.

“JPJ ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berhemah dan mematuhi jalan raya. Memang semua orang hendak cepat tetapi memandangkan cuti hujung minggu pertambahan kenderaan di jalan raya meningkat.

“Untuk kesalahan tersebut di bawah APJ 1987 jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 dan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan,” ujarnya kepada pemberita pada Ops Rentas Sempadan Wilayah Selatan Siri 2 2022 berhampiran Pintu Gerbang di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf dan Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan.

Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 502 notis saman telah dikeluarkan selain memotong barisan sebelah kiri, kesalahan lain ialah tidak patuh lampu isyarat merah (121), tidak memakai topi
keledar (15) dan tidak memakai tali pinggang keledar (26).

Menurutnya, beberapa kesalahan lain membabitkan memotong di garisan berkembar (3), menggunakan lorong kecemasan (2), menggunakan telefon bimbit (5), membawa lebih muatan (131) dan muatan bahaya (1).

“Ops ini dijalankan bertujuan memastikan keselamatan serta pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan lalu lintas yang ditetapkan,” ujarnya.

Katanya, tiga akta yang diberikan tumpuan ialah Akta APJ 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Kaedah-Kaedah Bermotor (1957).

Jelasnya, sepanjang tempoh tiga hari operasi tersebut dilaksanakan ia melibatkan seramai 95 anggota penguatkuasaan iaitu 71 dari Melaka manakala 12 orang dari Negeri Sembilan dan Johor. – SM

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button