Nasional

Boleh menangkah UMNO andai dipanggil snap election?

KOMENTAR

TRAFIK portal berita SUARA MERDEKA sesak sejak pagi semalam dengan komen-komen bertali arus dari netizen – mengalu-alukan syor supaya pemimpin dan ahli-ahli Parti BERSATU kembali ke pangkuan UMNO.

Lontaran seorang wartawan kami akan syor sedemikian, meriah sekali sambutannya.

Menyorot sejarah, apabila Parti Melayu Semangat 46 (S46) kembali ke pangkuan UMNO secara rasmi pada 6 Oktober 1996 selepas dibubarkan, pemimpin-pemimpin di dalamnya tidak meminta sebarang keistimewaan.

Ini termasuklah presidennya, Tengku Razaleigh Hamzah atau panggilannya, Ku Li. Kata Ku Li, beliau sanggup jadi gurkha UMNO asalkan orang Melayu bersatu.

Balik ke pangkal jalan adalah satu-satunya pilihan paling sesuai walau apa pun risiko dan padahnya. Yang penting ialah perpaduan dan kekuatan Melayu mengharung zaman di hadapan.

Antara senduk dan kuali lagikan berlaga, inikan pula dalam kalangan pengamal politik. Jika ada pihak yang telah terbakar jambatannya, barangkali jambatan baharu boleh dibina dengan budaya gotong-royong atas niat Bersatu Bersetia Berkhidmat.

Untuk memenangi mandat rakyat dalam pilihan raya umum akan datang, waima menerusi snap election atau pilihan raya mengejut, parti politik Melayu memerlukan pendekatan di luar kotak, keberanian dan kreativiti yang tinggi.

Apatah lagi, Melayu dan Bumiputera sekarang baik di Felda, Felcra dan pedalaman bukannya lagi Melayu yang berfikir dan berwacana tentang isu mitos tetapi sebahagian besarnya kini membabitkan isu rasionalisme peringkat tinggi.

Hari ini UMNO kelihatan sudah bangkit. Agaknya sebab itu meriah sekali sambutan bila diuar-uarkan BERSATU elok dibubar dan semua pemimpin, ahlinya masuk semula UMNO.

Barangkali, persaingan UMNO dan rakan-rakannya menghadapi parti lawannya kelak boleh digarap menerusi kisah perlumbaan antara `arnab dan kura-kura’.

Semua yang tahu cerita ini pasti terbayangkan – sekalipun arnab boleh berlari pantas, akhirnya kura-kura perlahan yang mencapai kemenangan kerana arnab leka dan tertidur.

Persoalannya, andai kata kura-kura diumpamakan UMNO yang tertinggal dalam penguasaan mandat rakyat, bolehkah kura-kura ini menang dalam senario arnab (Pakatan Harapan) yang tidak leka dan tidak tidur sejak runtuh Februari lalu?

Rumusannya, UMNO tetap ada harapan melalui pencapaian kerusi Parlimennya yang tertinggi (54) dalam kalangan semua parti politik di tanah air ini semasa PRU-14.

UMNO boleh menggapai kemenangan dengan dua syarat:

Pertama, kura-kura tidak sekali-kali menanggalkan kulitnya berapa berat sekalipun kulit memperlahankan perjalanannya.

UMNO wajib berpegang teguh kepada petua: “Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit”, kerana tanpa kulitnya, kura-kura bukan lagi kura-kura; malahan cicak bukan dan tikus pun bukan.

Juga Melayu yang lupa lalu membuang “warna kulit” jati dirinya, akhirnya akan kehilangan segala-galanya, iaitu Melayu bukan dan Muslim pun dia bukan!

Syarat kedua juga sangat penting dipenuhi, iaitu kemenangan bangsa dan umat dapat dicapai hanya jika kita ikut fitrah hayat kura-kura dan bukan arnab. Perhatikan, rata-rata arnab hidup hanya 10 hingga 15 tahun, berbanding dengan kura-kura, iaitu 150 hingga melebihi 200 tahun!

Dan syarat ketiga yang sama mustahaknya juga, bergaullah dengan orang muda. Bahasa rakyat harus cekap difahami. Harus diingatkan, pengundi di saluran 4, 5 dan 6 lah yang bergerak agresif memenuhkan pusat-pusat saluran mengundi. Mereka terdidik dengan isu-isu semasa, bertenaga dan sanggup berbaris panjang biarpun
pusat mengundi sudah ditutup 5 petang.

Di laman-laman sosial dan aplikasinya, baik WhatsApp, Facebook, Twitter dan Instagram, orang Melayu kurang berkata halus. Pepatah-petitih sudah dilupai.

Perumpamaan Melayu semacam menjadi pusaka murah. Belum lagi kalau ada yang masih membaca Buku Kiliran Budi karya Pendita Za’aba. Pasti sudah disaluti habuk kerana tidak dirujuk.

Ada dimomokkan, orang Melayu kononnya menerpa dan melompat ke hadapan tanpa menyusun langkah. Dan dikatakan barangkali tepat dikatakan: “Koyak baju kerana lenggang; pesuk songkok kerana lonjak”.

Namun, majoriti lebih bersetuju bahawa kerosakan BN yang tumbang tempoh hari adalah akibat badan yang buruk pinta.
Rangkap lama mengingatkan kita:

Jangan disalai ciku kedondong
Salailah ikan atas para
Jangan salahkan ibu mengandung
Salahkan badan yang buruk pinta.

Apabila mandat rakyat beralih, siapa yang ubah dan kenapa? Jawabnya tentu terletak pada hakikat bahawa ia diubah sedemikian cara kerana rakyat berasa UMNO belum cukup untuk melahirkan maksudnya sehingga ia terpaksa bersandar kepada orang lain.

Sudah petang ianya hari
Sudah kembang bunga ketola
Sudah datang kehendak hati
Sudah hilang sakit kepala.

Air di hulu sudah ke hilir
Buah maman tumbuh di Lukut
Pesaka dulu sudah bergilir
Kehendak zaman mesti diikut.

Syor agar para pemimpin dan ahli dari BERSATU kembali ke pangkuan UMNO bukan retorik.

Andai menjadi realiti, UMNO harus tampak gah di mata orang Melayu dengan imej-imej pemikiran baharu.

Cuma mampu menangkah UMNO andai dipanggil snap election bila-bila masa sahaja dari sekarang? – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button