Nasional

Rakyat tak kisah siapa Perdana Menteri asalkan…

KOMENTAR

BERTUKAR kerajaan dalam tempoh 22 bulan sahaja selepas berkuasa 9 Mei 2018, ada rakyat kisah?

Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020 ada orang ramai ambil peduli, berbeza reaksi pilu, sedih rakyat Malaysia semasa Perdana Menteri keempat 22 Jun 2002?

Apa isu sebenarnya hari ini? Isunya – rakyat kurang kisah siapa Perdana Menteri dan siapa kerajaan.

Politik yang banyak cakap, banyak janji, banyak temberang dan pandai berpura pura, sudah jelak di mata rakyat. Apa lagi dengan politik balas dendam dan mencari salah orang, sedangkan harapan rakyat hanya tinggal harapan.

Apa yang rakyat mahu adalah kos sara hidup yang ditangani. Apabila ini semua berada di landasan baik, justeru isu-isu lain seperti pendidikan dan kesihatan akan turut diimbangi. Masalah kenaikan harga barang masih gagal ditangani oleh kementerian malah inilah impak yang cukup kuat dihadapi rakyat.

Lebih-lebih cabaran yang sedang dihadapi akibat ramai yang hilang kerja, sumber pendapatan lenyap tiba-tiba tanpa bazar Ramadan dan macam-macam masalah luar jangka akibat penangan COVID-19.

Apa yang rakyat mahukan adalah pengurusan ekonomi negara yang stabil.

Suatu ketika, sebab kerajaan yang lepas perkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk menstabilkan pendapatan negara supaya kita tidak bergantung atau memperjudikan ekonomi negara kepada turun naik harga minyak dunia. Atau menjadi hamba kepada keputusan OPEC dan Bank Pusat Amerika yang umpama menyerahkan untung nasib rakyat Malaysia ke tangan kuasa luar.

Setelah GST dihapuskan oleh kerajaan Pakatan Harapan dan digantikan dengan SST, kita berbalik pula kepada masalah lama yang sebenarnya telah kita selesaikan.

Keadaan ekonomi merudum bukannya disebabkan legasi kerajaan lama (Barisan Nasional), namun adalah kerana hasil tangan kerajaan yang mengambil alihnya selepas itu.

Apabila mereka membuat keputusan untuk menghapuskan GST dan memperkenal SST, harga barang tetap naik namun hasil kerajaan hilang berbillion ringgit akibat ketirisan pendapatan kerajaan oleh peniaga yang lari dari membayar cukai. Akibatnya kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak meningkat.

Apabila harga minyak dunia turun, hasil kerajaan berkurangan dan rakyat tidak dapat bantuan. Ekonomi jadi huru hara dan tidak menentu.

Akibatnya SST menaikkan harga barang dan lebih memudaratkan daripada GST kerana ketirisan hasil cukai yang hanya menguntungkan tauke-tauke perniagaan yang lari dari cukai tetapi merugikan negara dan rakyat keseluruhan.

Tidak habis di situ, prestasi menteri-menteri kerajaan PH tempoh hari lebih banyak menjadi `buah mulut’ rakyat.

Sebilangannya merapu. Malah kadangkala di bawah `standard’ yang sepatutnya.

Ketika belum berkuasa, pemimpin-pemimpin PH berjanji seolah-olah mereka adalah ‘superman’ untuk selamatkan negara. Juga, konon mahu selesaikan masalah ekonomi, hapuskan tol, turunkan kos sara hidup dan beri kesejahteraan kepada rakyat.

Malangnya selepas berkuasa, mereka ternyata tiada idea. Ini sehinggakan terpaksa ‘copy paste’ daripada apa yang pernah dilakukan oleh kerajaan sebelumnya.

Bahkan, ada juga buat ‘U-Turn’, yang ketara sekali `flip-flop’ nya. Macam-macam jolokan diberi.

Ada senarai nama menteri yang dikatakan belum dapat mencapai prestasi diharapkan. Ada antaranya sering diselubungi kontroversi sepanjang melaksanakan tugas ketika itu.

Mereka waktu itu kelihatan sudah hilang kepercayaan rakyat berikutan kerajaan seolah-olah tidak mempunyai keupayaan untuk merealisasikan manifesto.

Lantas mempengaruhi keputusan di beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), dengan lima PRK di ambang pengakhiran kuasa kecundang apabila rakyat mula menolak calon kerajaan.

Setahun memerintah sejak Mei 2018, nilai ringgit tidak bermaya. Bursa Malaysia lesu dan peningkatan kos sara hidup membebankan. Kelihatannya mereka tidak dapat merasai denyutan hati rakyat yang semakin marah.

Antara yang diperkatakan ialah dominannya fahaman sosialis dan liberal dalam pentadbiran sehingga kelihatan menghimpit fahaman penganut Islam, kedudukan orang Melayu dan institusi Raja Melayu.

Insiden seperti percubaan meretifikasi ICERD, Rome Statute, penonjolan aktiviti LGBT, diburukkan lagi dengan kenyataan menteri yang kelihatan tidak kompeten dan kurang integriti telah menghakis keyakinan rakyat.

Dari sudut ekonomi, PH dikatakan gagal memperbaikinya. Pertumbuhan KDNK kuncup dari 5.8% kepada 4.7% dan tidak menunjukkan prospek melepasi 5%.

Setahun mentadbir, pasaran ekuiti di Bursa Malaysia turut melemah. Di bawah PH, market capitalisation mengecil dan waktu itu pasaran Malaysia sudah kehilangan lebih RM200 bilion sejak mengambil alih. Ia sekali gus meletakkan prestasi Malaysia sebagai yang terburuk di Asia.

Dikatakan penolakan pegawai perkhidmatan awam terhadap kerajaan dulu yang berpunca dari sikap tidak menghormati perkhidmatan awam, menambah lagi luka lemahnya prestasi kerajaan PH.

Dan secara keseluruhan gabungan parti-parti di bawah PH dimomokkan sebagai tidak menjanjikan Malaysia yang lebih baik

Sebab itu menteri-menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini harus ambil iktibar dan teladan.

Isunya hari ini, sekali lagi ditekankan: Rakyat tidak kisah siapa kerajaan atau Perdana Menteri yang mentadbir, asalkan berupaya menangani kos sara hidup.  – SM

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button