BMW Malaysia perkenal DC FastCharger baharu
BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan DC FastCharger baharu yang telah dipasang di Auto Bavaria Ara Damansara buat pengguna awam, ia juga bakal disusuli dengan pemasangan di pusat-pusat pengedaran BMW i yang lain di seluruh negara.
Menjelang ketibaan barisan model kenderaan BMW i generasi terbaharu, pengeluar kenderaan premium ini kekal komited untuk menggiatkan penyediaan infrastruktur pengecasan di Malaysia, berserta dengan Rapid-Charging DC Charger untuk semua pengecasan segera di pusat pengedaran yang terpilih di seluruh negara.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Kami telah menerajui peralihan ke arah elektrifikasi bukan sahaja melalui portfolio kenderaan elektrik kami, juga dengan meluaskan rangkaian infrastruktur pengecasan tempatan di seluruh negara. Kami telah menjalin kerjasama dengan GreenTech Malaysia untuk melahirkan sebuah ekosistem yang mampu memperkukuhkan lagi eko sistem kenderaan elektirk, dan sedang meneruskan komitmen tersebut, bersama jaringan pengedar kami yang berdedikasi bukan sahaja untuk pemilik BMW dan MINI, malah kepada para pemilik kenderaan elektrik lain di Malaysia.”
“Kami yakin langkah ini dapat meningkatkan akses ke atas infrastruktur pengecasan di seluruh negara, selain membantu menangani kekhuatiran pengguna yang ingin memiliki kenderaan elektrik di Malaysia, misalnya bagi perihal melibatkan jarak operasi kenderaan.” katanya lagi.
Vi Thim Juan, Pengarah Urusan Auto Bavaria menyatakan, “Seperti BMW Group, kami juga berpendapat bahawa masa hadapan kita akan berlandaskan elektrik, dan kami berbesar hati untuk menyertai kumpulan pengedar yang pertama untuk merealisasikan visi ini dengan menyediakan DC Fast Charger di premis kami bagi kegunaan awam.
Pelanggan setia BMW dan MINI juga kini boleh mengunjungi pusat pengedaran kami dan menikmati pengalaman pemilikan kenderaan elektrik yang dijanjikan kerana kami juga menggalas tanggungjawab bersama BMW Group Malaysia untuk menyokong proses peralihan ke arah penggunaan kenderaan elektrik di seluruh Malaysia.” – SM
Kredit: EnjinDotCom