Ekonomi

Biz Hall anjuran Yayasan Bank Rakyat berjaya kembangkan perniagaan usahawan

BERMULA daripada penjualan di atas talian, dua anak muda berjaya mengembangkan perniagaan mereka dengan membuka sebuah pasar basar mini hasil selepas menyertai program Biz Hall yang dianjurkan Yayasan Bank Rakyat.

Pemangku Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Mohd. Fauzi Md. Fadzil berkata, pihaknya gembira apabila matlamat program tersebut untuk membantu usahawan mula membuahkan hasil.

“Alhamdulillah, memang program kita mensasarkan bantuan kepada peniaga baru dan sedang berniaga yang terjejas kerana pandemik Covid-19.

“Seorang daripada peserta program Biz Hall sudah mula menyahut cabaran dan kita akan terus bantu lebih ramai lagi usahawan untuk terus berjaya,” katanya.

Mohd. Fauzi berkata demikian selepas hadir merasmikan Pasar Segar Tanseri yang dimiliki dua peserta program Biz Hall.

Menurut beliau lagi, kejayaan dua peserta program Biz Hall ini diharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan.

“Kita sebenarnya mahu lebih ramai usahawan seperti pemilik Pasar Segar Tanseri untuk berjaya memajukan dan mengembangkan perniagaan mereka melalui platform bimbingan yang telah disediakan.

“Selain itu, kita juga akan lebih berusaha untuk memperbanyakkan lagi program keusahawanan bagi membantu usahawan baharu,” katanya.

Sementara itu, pemilik Pasar Segar Tanseri, Muhammad Harizon Ramli, 32 dan Mhd. Izwan Agil, 35 berkata, keyakinan mereka berdua untuk membuka kedai tersebut datang selepas menghadiri Biz Hall pada 27 September lalu.

Menurut Muhammad Harizon, mereka memulakan perniagaan barangan basah secara sambilan dahulu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Saya dan Mhd. Izwan memang terkesan dengan Covid-19 sebab kami bekerja sebagai pelatih kecergasan.

“Itu yang kami mulakan perniagaan barangan basah menerusi perniagaan atas talian dahulu secara sambilan,” katanya.

Sementara itu, Mhd. Izwan pula berkata, idea untuk membuka pasar segar itu hadir selepas mereka menghadiri program Biz Hall.

“Kami mula berkeyakinan untuk buka pasar segar ini selepas hadir ke program Biz Hall yang dianjurkan Yayasan Bank Rakyat.

“Di situ ada pelbagai agensi yang menyediakan latihan dan dana. Daripada program itu yang kami mula yakin sebab kami tahu ada banyak sokongan bagi mereka yang ingin berniaga sebenarnya,” katanya.

Ujarnya, cabaran daripada Pengerusi Bank Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin juga menjadi pemangkin semangat buat mereka untuk terus mengembangkan perniagaan yang dijalankan.

Tambahnya, mereka berdua kini dalam perancangan untuk meluaskan lagi perniagaan pasar segar menerusi beberapa cawangan lain dalam masa terdekat. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button