Bincang elok-elok tak perlu gaduh
SUARA MERDEKA-Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemelut peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diselesaikan melalui perbincangan dalaman serta dipersetujui secara konsensus antara pemimpin komponen dalam Pakatan Harapan (PH).
Ujar beliau, isu ini juga sebenarnya telah dibincangkan ketika perjanjian awal antara empat pemimpin komponen PH iaitu Datuk Seri Wan Azizah (PKR), Lim Guan Eng (DAP), Mohamad Sabu (Amanah) dan beliau sendiri.
Menurut laporan Bernama, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pemimpin komponen PH telah berbincang siapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika PH menang pilihan raya dan semua bersetuju bahawa Dr. Mahathir yang perlu dilantik untuk jawatan itu.
“Mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri seterusnya nama Anwar ada disebut tetapi isunya bukan peralihan kuasa tetapi lebih kepada bila ia akan dilaksanakan,” katanya ketika mengulas apakah tempoh masa peralihan kuasa ada dibincangkan semasa perjanjian awal sesama empat pemimpin PH.
Ujar beliau, perkara ini (peralihan kuasa) adalah sesuatu yang semua pemimpin PH perlu duduk semeja dan berbincang serta bersetuju mengenainya dan tidak perlu bergaduh mengenainya.
“Saya berpandangan kita tidak boleh mengelak mengenai perkara ini (peralihan kuasa) oleh itu lebih baik kita tunggu dahulu sehingga perkara ini dibincangkan oleh pemimpin-pemimpin dalam PH nanti,” katanya lagi.