Politik

Bila tak ada majoriti, letak jawatan macam Tun M

BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mengesa Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri seperti yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas tidak lagi memiliki majoriti sokongan ahli Parlimen..

Pengarah Komuniksai Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, kerajaan PN tidak sewajarnya menyusahkan rakyat dengan mengisyiharkan darurat.

“Bila tak ada majoriti, letak jawatan macam Tun tempoh hari. Jangan menyusahkan rakyat dengan diisytihar darurat! Darurat kerana nak pertahankan jawatan sedangkan tak ada majoriti?

“Bila letak jawatan, Yang di-Pertuan Agong akan uruskan perlantikan PM baharu. Seperti Tun dulu. Tak ada kecoh pun,” ciap Khalid di Twitternya.

Beliau mengulas laporan media bahawa kerajaan sedang berura-ura untuk melaksanakan darurat berikutan pertambahan kes Covid-19.

Di Twitternya juga, Khalid menyalahkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai punca gelombang ketiga pandemik Covid-19 kerana gagal mentadbir dengan baik.

“Buktinya; PRN Sabah. Diadakan cepat, tanpa persedian dan SOP yang lengkap. Arahan, “yang balik selepas 27hb September sahaja perlu kuarantin dan sebagainya.

“Bukan darurat yang diperlukan. Yang diperlukan adalah sebuah kerajaan yang cekap dari sudut arahan dan kawalan, khususnya di kawasan-kawasan bermasalah seperti Sabah. Sabah adalah bukti kegagalan kerajaan PN,” dakwa Khalid.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berkata, PN gagal kerana tidak cekap dan sentiasa mengutamakan kepentingan politik.

Sedangkan, menurut Khalid ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan gelombang pertama Covid-19 ditangani dengan baik.

“Hanya 22 kes dan semua pulih dirawat, tiada kematian. PN ambil alih, sibuk berpolitik, berlaku gelombang ke-2. Tak terkawal sehingga terpaksa laksana MCO.

“Terus sibuk berpolitik, sekarang gelombang ke-3! Wajar PN berundur,” kata Khalid di Twitternya.

Pada hujung Februari lalu Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Yang di-Pertua Agong memilih kerajaan yang baharu berdasarkan pengakuan dan undi Ahli Parlimen yang dipanggil seorang demi seorang ke Istana Negara.

Gelombang ketiga Covid-19 meletus sebaik kempen Pilihan Raya Negeri Sabah bermula pada 12 September lalu.

PRN Sabah berlangsung selepas Ketua Menteri Sabah ketika itu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membuat keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Ini selepas Shafie kehilangan sokongan majoriti beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri dalam Kerajaan Warisan Plus berpaling dan menyokong Tan Sri Musa Aman untuk mengambil alih pemerintahan daripada Mohd. Shafie.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button