Politik

Bersih pertahan kebebasan bersuara Umany

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk sebarang tindakan yang ingin menghalang rakyat daripada bersuara dan melontarkan pandangan secara sihat terhadap isu-isu yang berlegar dalam negara.

Justeru, pertubuhan tersebut menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menghentikan siasatan dan intimidasi terhadap Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (Umany).

Katanya, penggunaan undang-undang terhadap pihak yang hanya bersuara menggunakan pena adalah satu bentuk intimidasi dan bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia.

Menurut Bersih, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas membenarkan rakyat untuk melontarkan pandangan dengan bebas.

“BERSIH 2.0 sekali lagi menggesa pihak polis menghormati hak rakyat untuk bersuara dan memberhentikan sebarang siasatan terhadap mahasiswa tersebut dengan segera.

“Intimidasi seperti ini hanya membazir masa dan sumber oleh pihak polis yang perlu disalurkan terhadap kegiatan jenayah yang lebih membahayakan keselamatan rakyat dan negara,” kata Bersih dalam satu kenyataan.

Pertubuhan itu juga mendakwa tindakan pihak polis hanya memanggil mahasiswa tersebut sebagai satu tindakan yang berat sebelah.

Menurut Bersih, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim juga telah mempersoalkan perkara yang sama dalam ciapan Twitter beliau pada 26 Oktober 2020(2).

“Sekiranya membangkitkan dan membincangkan sesuatu isu berkaitan perlembagaan tidak bersalah untuk Tan Sri Rais Yatim, maka pihak polis juga perlu menghentikan segera siasatan terhadap mahasiswa-mahasiswa Umany,” kata Bersih.

Gerakan mahasiswa tersebut telah mengeluarkan satu kenyataan media bertajuk “YDPA Should Not Interfere in National Affairs” di Facebook rasmi Umany pada 31 Oktober.

Berikutan kenyataan tersebut, pada 5 November, Presiden Umany Robin Yap Wen Qing dan Naib Presiden persatuan itu Tan Li Yuan telah disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Peguam, Wan Guan Hui yang mewakili Umany berkata, sebanyak 70 laporan polis telah dibuat terhadap pertubuhan pelajar itu.

Beberapa pihak sebelum ini menggesa Umany membuat permohonan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung kenyataan melalui laman Facebook persatuan itu yang didakwa mempertikaikan kuasa Seri Paduka Baginda dalam urusan politik negara.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button