Berserah Kepada Allah Tetapi Tiada Usaha Ibarat Sudah Mati Harap Jenazah Bergolek Ke Kubur
Cerita masyarakat yang terjejas akibat Covid-19 takkan berakhir dalam masa terdekat dan sangat mengejutkan, tanah Malaysia yang berdaulat ini tiba-tiba banyak menyaksikan kes bunuh diri akibat tekanan.
Walaupun kes-kes begini cuba disorokkan oleh segelintir pihak namun bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru kerana zaman ini, segala perkara berkait dengan kerahsiaan atau aib sangat sukar disembunyikan.
Melihat betapa seriusnya permasalahan ini, rakyat tampil dengan idea kibarkan bendera putih dan jangan tanggung kesengsaraan itu bersendirian kerana rakyat tetap ada untuk membantu.
Namun demikian, idea berkenaan dicuri oleh segelintir ahli politik dan menjadikannya sebagai agenda peribadi untuk memperlihatkan mereka sebagai ‘hero’ pada waktu yang sukar.
Tidak salah untuk menjadi ‘hero’ namun takkan selama bergelar ahli politik langsung tiada idea yang bernas untuk membantuu rakyat di kawasan sekitar atau lebih tepat kawasan jagaan?
Kalaulah cuma rakyat sahaja yang boleh berikan idea bernas, terus hulur bantuan tanpa perlu bersidang, lebih baik ahli politik sedia ada letak jawatan dan serahkan kepada rakyat yang amanah.
Ini tidak.. sudah diberi peruntukan oleh kerajaan persekutuan, entah ke mana perginya hasil untuk membantu rakyat jelata yang benar-benar dalam kesusahan.
Golongan ini perlu dicari oleh pemimpin. Kerahkan sahaja askar-askar mereka untuk menyelusup masuk ke kawasan komuniti dan bertanya kewujudkan orang yang susah.
Bukannya tunggu di balai raya atau pejabat cawangan dengan harapan mereka yang susah akan berjalan ke sana menagih bantuan dan yang ‘malu’ ini terus hilang dari perhatian.
Teringat kata-kata seorang ahli politik dari pantai timur. Katanya, jangan angkat bendera putih sebaliknya terus berdoa kepada Allah SWT dengan harapan Covid-19 berakhir.
Tertanya-tanya masyarakat.. apa yang sudah dia buat untuk pastikan tidak ada seorang pun rakyat Malaysia angkat bendera putih kerana mampu hidup selesa walaupun ekonomi negara runtuh?
Ada atau tidak? Tepuk dada, tanya iman. Lantang dan lancang menaip di media sosial, tolong pandang sikit masyarakat yang tiada internet!