Nasional

Bersedia elak gelombang kedua COVID-19 daripada melanda Negara – Raja Muda Perlis

SEMUA pihak hendaklah membuat persiapan mental bermula dari sekarang supaya lebih bertanggungjawab dan berdisplin dalam tindakan sekiranya Kerajaan melonggarkan atau menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) suatu hari nanti.

Semua pihak harus memikirkan sendiri adakah kita sudah benar-benar matang dan bersedia mengharungi ‘norma baharu kehidupan’ apabila PKP dilonggar atau dihentikan kelak.

Melihat negara Sweden sebagai contoh, mereka yang tidak memperkenalkan PKP kerana rakyatnya yang amat-amat mengambil berat dan serius dalam mematuhi segala nasihat oleh Kerajaan, manakala China pula mempunyai sistem pengurusan dan kawalan oleh kerajaan yang begitu ketat dan tegas terhadap rakyatnya. Ini dua situasi berbeza yang harus dilihat dan harus dimuhasabah secara bersama terhadap bagaimana realiti kesediaan rakyat di negara ini.

Demikian titah dan persoalan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melalui siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) apabila dipohon memberi pandangan mengenai seandainya Kerajaan melonggarkan PKP di beberapa buah negeri ‘Zon Hijau’ di utara jika tiada lagi kes baru Covid-19 dicatatkan secara berterusan selama lebih 14 hari nanti.

Baginda menyerahkan sepenuhnya dan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN). MKN sudah pasti akan mengkaji serta memperhalusi pelbagai sudut dan kesan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi-agensi utama lain dengan sebaiknya sebelum membuat sebarang pengistyharan baharu sama ada ianya dalam masa terdekat atau lebih lama lagi.

Kerajaan bukan hanya perlu mempertimbangkan berdasarkan data semata-mata bahkan turut mengambil kira kesediaan dari segi mentaliti rakyat untuk pasca PKP ini. Kita tidak mahu gelombang kedua ‘membadai’ semula negara kita dan memberikan kesan yang lebih dahsyat hingga kita terpaksa bermula semuanya kembali.

Kita perlu mengambil kira mampukah Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta agensi-agensi berkanun menghadapi gelombang kedua ini. Begitu juga persediaan syarikat-syarikat, perusahaan, perbankan dan lain-lain sektor. Justeru, Kita perlu menangani permasalahan ini dari peringkat awal lagi. Semuanya adalah semata-mata untuk kebaikan dan kesejahteraan kita bersama.

Antara ‘amanah’ paling besar yang perlu dilaksanakan adalah dengan meneruskan norma baharu seperti mengekalkan penjarakkan sosial atau ‘self distancing’, mencuci tangan menggunakan sabun dan cecair pembasmi kuman, memakai topeng muka, mengamalkan etika batuk dan bersin, tidak bersalaman dan sebagainya.

Rakyat akan mudah lupa akan perkara-perkara ini apabila keadaan semakin reda, apatah lagi pelbagai musim perayaan yang kita punyai.

Kita sama-sama perlu pastikan gelombang kedua tidak berulang kembali dan memaksa kita mengulangi proses ini sekali lagi. Bayangkan impak ke atas negara dan rakyat baik dari segi kesihatan, keselamatan, sosio ekonomi, pendidikan, pengamalan aktiviti keagamaan dan budaya, fizikal serta emosi.

Kita perlu sedar bahawa gelombang kedua boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja selagi dunia belum menemukan sebarang penawar mahupun vaksin kepada virus Covid-19 ini dan selama itu jugalah kita perlu hidup dalam keadaan penuh berjaga-jaga dan mengawal setiap pergerakan kita walaupun keadaan di negara semakin pulih.

Kita juga tidak boleh sama sekali leka dan lalai, sebaliknya wajib mengambil inisiatif serta langkah sendiri untuk memperketat dan memberikan perhatian serius terhadap foktor keselamatan diri dan keluarga tersayang masing-masing.

“Saya sendiri juga akan terlibat semula di dalam program-program yang hanya dibenarkan oleh pihak KKM. Namun, pada masa yang sama Saya mahu para penganjur dan juga pasukan pentadbiran Saya akan lebih ‘tegas’ dan ‘teliti’ dalam amalan keselamatan dan pencegahan Covid-19 daripada terus menular,” ujar baginda.

Sebagai contoh untuk program saya, Penjarakkan Sosial Paksaan mungkin diwajibkan kepada jarak 2 meter berbanding sekarang iaitu sekurang-kurangnya hanya 1 meter yang sering diwar-warkan sebelum ini.

Pada masa yang sama juga baginda merasakan bahawa anak-anak harus memastikan ibu bapa yang mereka sayangi terutamanya yang berisiko tinggi untuk terus kekal berada di rumah untuk tempoh yang lebih lama iaitu golongan berusia 65 tahun dan ke atas serta mereka yang mempunyai sejarah kesihatan seperti penyakit barah, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.

Sementara itu, MAIPs turut menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM171,150 untuk ‘Program Bantuan Khas Kecemasan Masjid MAIPs’ yang diagihkan melalui masjid-masjid seluruh Negeri Perlis menjadikam keseluruhan inisiatif berkenaan adalah sebanyak RM936,150 untuk manfaat 6,241 penerima. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button