BERSATU Wadah Unggul Untuk Rakyat Malaysia – Azmin
Citra BERSATU yang dinamik, progresif dan inklusif amat bertepatan dengan aspirasi zaman demi membangun Malaysia yang bersatu padu dan berupaya mendepani cabaran semasa. Idealisme perjuangan BERSATU yang meliputi norma kehidupan serta dasar prihatin yang mengangkat martabat rakyat telah berjaya menjana kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.
Justeru, saya amat menghargai dan berterima kasih di atas kenyataan YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, Presiden BERSATU di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap iltizam dan komitmen saya bersama BERSATU sebagai wadah politik dan perjuangan demi rakyat.
Dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin khususnya pakej rangsangan ekonomi yang proaktif serta keputusan pantas yang tepat pada masanya mengenai pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran, telah meletakkan Malaysia di atas landasan yang kukuh dan berdaya tahan bagi menjamin kejayaan pemulihan ekonomi dan usaha menangani krisis kesihatan. Walhasil, Malaysia telah diiktiraf sebagai berjaya mengurus pandemik dengan efektif dan bertanggungjawab. Kebijakan yang mesra perniagaan telah berjaya mencipta pekerjaan dan kemakmuran
untuk rakyat sekaligus merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan pasca pandemik.
BERSATU adalah sebuah parti yang berakar dari identiti Melayu dan Bumiputera demi memelihara hak dan kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam. Namun, sebagai wadah politik yang berpandangan jauh ke hadapan, BERSATU juga mahu mendakap realiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama. BERSATU telah berani melakukan anjakan paradigma dengan meminda Perlembagaan Parti untuk meraikan kepelbagaian kaum dan budaya yang akan menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia.
Saya ingin menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan BERSATU adalah jati diri saya. Kita akan terus bergerak sederap bersama seluruh anggota BERSATU untuk membangunkan sebuah Kerajaan yang bersih, telus, berintegriti dan komited terhadap prinsip tadbir urus yang baik serta memperjuangkan keadilan sosial demi kemakmuran bersama seluruh rakyat. Sesungguhnya, BERSATU wadah unggul untuk rakyat Malaysia.
*DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI*
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia