Kesihatan

Raja Muda saran rakyat Perlis jadikan rutin derma darah setiap tiga bulan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak rakyat di negeri Perlis untuk terus tampil menderma darah secara tetap setiap tiga bulan.

‘Bagi orang ramai yang memenuhi kriteria untuk menderma darah dan belum pernah menderma darah, tampillah menderma darah atau tampil sebagai penganjur kempen derma darah untuk memastikan bekalan darah di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) sentiasa mencukupi. Derma Darah Tanda Solidariti, Sertai Usaha Ini Dan Selamatkan Nyawa’.

Demikian dititahkan oleh Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan berbasikal amal sempena ‘Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Perlis 2022’ anjuran secara bersama oleh Jabatan Kesihatan Negeri dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Nurul Hamim, Kechor, Kangar pada petang semalam.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.


Menurut Dr Sirajuddin, sambutan yang diraikan pada 14 Jun setiap tahun ini bertujuan bagi meningkatkan kesedaran yang lebih mendalam terutama kepada golongan belia bahawa menderma darah adalah tindakan murni yang memberi manfaat kepada semua masyarakat.

Terang beliau lagi, ‘Bekalan darah yang mencukupi hanya dapat diperoleh melalui sumbangan tetap oleh penderma darah secara sukarela. Komitmen penderma darah secara tetap akan membantu mengekalkan bekalan darah yang mencukupi dan selamat.’

Sempena program yang disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf’ tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs di awal program berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs bernilai RM21,000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan untuk diagihkan oleh amilnya Abdul Syukor Othman. Masing-masing akan menerima RM700 setiap seorang.

(Visited 62 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button