Nasional

Bersatu hilang arah selagi Dr Mahathir, Muhyiddin tidak ketemu

TAN SRI Syed Hamid Albar mengingatkan kedua-dua pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu pengerusi Tun Dr. Mahathir Mohamad dan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin harus memastikan parti itu sihat seperti mana namanya “Bersatu”.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) itu menarik perhatian tersebut kerana rakyat terutama ahli parti kini keliru dan hilang arah kerana parti kelihatan telah berpecah kepada ‘2 Bersatu’.

Satu pihak, kata beliau, diketuai Muhyiddin berada dalam Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai UMNO dan Pas manakala satu lagi dikepalai Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan (PH).

“Parti yang kelihatan berpecah tidak bersatu seperti ini bolehkah berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15?

“Apatah lagi kalau diperhatikan kalangan pemimpin Barisan Nasional ada menyatakan ia (PN) hanya peringkat kerjasama antara ahli-ahli parlimen.

“Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional ini antara UMNO dan Pas, saya tak pasti adakah Bersatu ada tempatnya dalam gabungan ini (PN)?

“Banyak benda masih kabur, ahli-ahli Bersatu di bawah terus keliru,” kata beliau ketika dihubungi SUARA MERDEKA hari ini.

Syed Hamid berkata, kerana itu Dr Mahathir dan Muhyiddin mesti segera mengadakan pertemuan empat mata membincangkan perkara ini.

“Saya difahamkan ada inisiatif ke arah ini (pertemuan) dengan Muhyiddin sendiri ada menyatakan tetapi mungkin disebabkan krisis wabak COVID-19 ini maka urusan itu dikemudiankan.

“Buat masa ini saya pun tidak boleh meramalkan apa-apa kerana saya tengok website pemimpin-pemimpin pun sibuk dengan politik masing-masing.

“Tapi saya ingin tekankan, suatu hari kedua-duanya (Dr Mahathir dan Muhyiddin) kena duduk juga bersama.

“Saya tak tahu siapa akan menang kerana setakat ini Dr Mahathir sudah menang tanpa bertanding jawatan pengerusi manakala Muhyiddin dicabar oleh Datuk Seri Mukhriz,” kata beliau.

Mengenai pemilihan Bersatu, Syed Hamid berkata, tarikh baharu persidangan serentak 189 bahagian untuk memilih ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) termasuk presiden dan timbalan presiden akan diumumkan selepas 30 Jun nanti.

“Buat masa ini kita akur dengan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang tidak membenarkan sebarang perjumpaan, mesyuarat dan persidangan sehingga Jun ekoran penularan COVID-19,” kata beliau.

Sementara itu, semakan SUARA MERDEKA di laman web Bersatu merekodkan senarai calon bertanding yang telah dimuktamadkan selepas proses pencalonan selesai. Antaranya:

CALON PRESIDEN
1. Tan Sri Muhyiddin Yassin
2. Datuk Seri Mukhriz Mahathir

CALON TIMBALAN PRESIDEN
1. Datuk Marzuki Yahya
2. Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

CALON NAIB PRESIDEN
1. Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman
2. Sallehudin Amiruddin
3. Mohd Nizam Md Noh
4. Datuk Seri Erwan Mohd Tahir
5. Mohd Shahni Ismail
6. Mohd Redzuan Md Yusof
7. Ir Mohd Sabri Mohamad Zin
8. Abdul Rashid Asari
9. Sabirin Jaafar
10. Mohd Radzi Md Jidin
11. Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen
12. Adhif Syan Abdullah
13. Ranizal Basiran
14. Ronald Kiandee
15. Mazlan Bujang
16. Sazmi Miah
17. Amiruddin Hamzah
18. Syahrulnizam Salim
-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button