Bersatu belum putus bertanding di PRK Batu Sapi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, kata Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun.
“Sejujurnya, setahu saya tiada apa-apa. (Bersatu) masih belum buat apa-apa keputusan,” katanya yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah pada sidang media harian Kerajaan Negeri Sabah mengenai situasi semasa COVID-19 di sini, malam ini.
Demikian jawapan ringkas beliau, mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa terdapat khabar angin mengenai seorang pemimpin Bersatu di kawasan Batu Sapi berminat untuk bertanding di kawasan itu.
Hari ini, Bung Moktar, dilaporkan berkata Barisan Nasional (BN) Sabah akan menyokong calon daripada mana-mana parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya parti dalam gabungan itu memilih untuk bertanding dalam PRK Parlimen Batu Sapi.
PRK Parlimen Batu Sapi diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong daripada Warisan pada 2 Okt lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Nov ini sebagai tarikh penamaan calon, 1 Dis sebagai tarikh mengundi awal dan 5 Dis sebagai tarikh mengundi.
GRS terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), BN dan PBS, membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 baru-baru ini.
PN dianggotai Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), dan Parti Progresif Sabah (SAPP), manakala BN dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).- BERNAMA